KETUA pasukan skuad wanita kebangsaan, Steffi Sidhu berbangga dengan aksi yang ditunjukkan rakan-rakan sepasukannya dan percaya skuad wanita mampu menjadi pesaing untuk temasya Sukan SEA yang akan datang.
Dia juga turut berbangga dengan aksi yang ditunjukkan pemain-pemain muda terutama apabila beraksi menentang pasukan Vietnam dan Filipina yang beraksi di Piala Dunia dan mahu pasukan ini dikekalkan untuk melakukan sesuatu yang positif buat negara.
“Bagi saya ianya satu penghormatan kerana dapat bermain dengan dua pasukan yang beraksi di Piala Dunia dan kami menunjukkan aksi yang baik dalam kedua-dua perlawanan cuma kehilangan fokus pada satu-satu ketika menyebabkan kami tewas kepada Vietnam dan Filipina.
“Bagaimanapun, saya berbangga dengan apa yang ditunjukkan rakan sepasukan dan kami lakukan perkara positif dalam kejohanan ini dan kami berharap agar kami kekal bersama untuk melakukan sesuatu buat bola sepak wanita negara.
“Saya berbangga dengan lima pemain muda yang buat pertama kali beraksi di peringkat antarabangsa. Mereka beraksi baik dan mempelajari banyak perkara untuk memperbaiki prestasi mereka selepas ini.
“Selain itu, kami juga banyak belajar apabila bertemu Vietnam, Filipina dan Myanmar serta mendapat pengalaman yang cukup baik dalam kejohanan kali ini,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Khamis.
Ditanya apakah yang diperlukan oleh skuad Malayan Tigress untuk memantapkan lagi aksi mereka, Steffi berpendapat tambahan kumpulan pemain dan sokongan daripada semua pihak adalah elemen utama untuk pasukan ini lebih berkembang di masa akan datang.
“Bagi saya pasukan yang ada kini sudah bagus tetapi kami perlukan lebih banyak ‘pool’ pemain untuk diserapkan dalam pasukan wanita. Semoga selepas ini akan lebih banyak perlawanan persahabatan untuk kami sebagai persediaan dan apa yang penting kami perlukan sokongan dari keseluruhan rakyat Malaysia,” tambahnya.
Steffi juga tidak menolak kemungkinan untuk menyertai skuad Malayan Tigress pada temasya Sukan SEA akan datang jika khidmatnya masih diperlukan meskipun dia kini adalah pemain paling berusia dan perlu bersaing dengan barisan pemain yang jauh lebih muda.
“Saya tidak pasti tetapi jika ada rezeki dan masih fit, saya akan terus bekerja keras dan jika masih mampu lakukan serta masih diperlukan, saya bersedia untuk dipanggil menyertai skuad pada Sukan SEA akan datang,” jelasnya.
Pada saingan temasya di Kemboja, Malayan Tigress mengakhiri kempen dengan tiga kekalahan dan berjaya menjaringkan satu gol serta mengurangkan defisit kekalahan kepada kuasa-kuasa besar bola sepak wanita Asia Tenggara.