JURULATIH  atlet para Powerlifting, Jamil Adam menegaskan pasukannya kini berada dalam keadaan yang bersedia sepenuhnya untuk mendepani Sukan Para Asean 2023 yang akan diadakan di Kemboja pada 3 hingga 9 Jun depan.

Menurut Jamil, segalanya perancangannya berjalan lancar sepanjang persediaan dijalankan.

“Ini adalah persiapan yang terakhir kerana dalam dua minggu lebih lagi kita akan berangkat ke Kemboja. Berdasarkan dari segi persiapan, kami telah pastikan atlet berada dalam keadaan yang bersedia.

“Kami yakin kami berada di landasan yang  betul dan atlet-atlet juga ditetapkan dengan sasaran masing-masing serta berada dalam keadaan yang tip-top untuk  beraksi,” ujar Jamil ketika ditemui pada sesi latihan persiapan pasukan.

Dalam masa yang sama, Jamil juga meletakkan pingat emas dan perak sebagai sasaran awal berdasarkan pemerhatian yang dilakukan dari segi saingan yang akan dihadapi di Kemboja nanti.

Sementara itu, jaguh Nicodemus Manggoi Anak Moses yang pernah menjadi juara dalam Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia di Bangkok pada 2021 lalu menjadikan emas sebagai sasaran utama memandangkan temasya sukan kali ini adalah penampilannya yang keempat.

“Penampilan ke empat dalam Sukan Para Asean kali ini, saya menyasarkan emas dan mahu memecahkan rekod yang saya lakukan di Solo sebelum ini.

“Saya akan melakukan latihan dengan lebih kuat lagi dan sentiasa bersedia hingga tiba waktu perlawanan walaupun saya melalui jarak masa yang agak lama selepas di Solo, saya akan berlatih selalu tanpa rehat,” katanya.