MUHAMMAD Irfan Shamsuddin merangkul emas cakera lelaki keenam berturut-turut pada Sukan SEA 2023 sebentar tadi.

Irfan melontar cakera sejauh 57.83m untuk mendahului sekali lagi dalam acara di Stadium Nasional Morodok Techo di Phnom Penh, di sini

Dia pertama kali memenangi emas di Sukan SEA Naypyidaw 2013.

Irfan juga memperoleh pingat emas pada 2015, 2017, 2019 dan di Hanoi tahun lalu.

Bagaimanapun, atlet berusia 27 tahun itu mendakwa berjaya memecahkan rekod Sukan SEA dipegang atlet Singapura Wong Tuck Yim, 59.50m, yang dicatatkan pada edisi 1999 di Brunei.

“Salah seorang pegawai tersilap mengangkat bendera merah. Sepatutnya angkat bendera putih ketika percubaan pertama, saya percaya itu rekod Sukan SEA pada balingan pertama saya, saya betul-betul nampak penanda saya dekat dengan garisan 60 meter.

“Saya memang rancang datang sini untuk lakukan sehabis baik pada balingan pertama, saya tahu kondisi saya di sini, lepas balingan pertama saya mengaku tenaga banyak digunakan dan buat badan lemah, itu sebab saya mahu habiskan di balingan pertama dan seterusnya saya cuma ikut rentak saja,” katanya kepada pemberita di Kemboja, pada Khamis.

Satu lagi pingat emas untuk kontinjen negara disumbangkan oleh Andre Anura yang berjaya melakukan catatan 16.06 meter dalam acara lompat kijang sekali gus meraih pingat emas ke-24 buat Malaysia.

Pingat emas ini kedua peribadi untuk Andre Anura dalam temasya Sukan Asia Tenggara selepas memenangi acara ini pada edisi di Vietnam, tahun lalu.