JURULATIH bola sepak skuad bawah (B-22), E Elavarasan memohon maaf susulan kegagalan melangkah ke pusingan separuh akhir Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

Walaupun mengamuk sakan tampil membelasah Singapura 7-0, pada pertemuan terakhir Kumpulan B pada Rabu, perjalanan Ela dan anak buahnya sudah terlambat bagi mencipta kebangkitan.

“Buat peminat Malaysia, kami memohon maaf kerana tidak dapat membawa pasukan ke pusingan kedua. Kami juga berterima kasih kepada peminat yang selalu bersorak dan menyokong pasukan, serta persatuan dan kelab yang membantu kita melepaskan pemain.

“Ia pengalaman berharga yang kami pelajari di sini,” katanya selepas perlawanan di Stadium Prince.

Sementara itu, Elavarasan memberitahu kakitangan kejurulatihan akan berbincang dan melihat kelemahan pemain yang perlu diperbaiki untuk menghadapi kejohanan seterusnya.

“Kita perlu melihat di mana kelemahan, di mana kita perlu kembangkan dan bergerak ke hadapan,” katanya.