MESKIPUN sudah menang emas pertama di temasya Sukan SEA Kemboja dan dua kali bergelar juara dunia, Tan Cheong Min, masih teruja selepas bergelar juara dalam acara gabungan, Nandao+Nangun sekali gus memastikan skuad wushu menepati sasaran dua pingat emas.
Sambil mengakui gementar menjelang acara Nandao hari ini, juara dunia 2019 (Nandao) dan 2017 (Duilian) tidak menyangka acara terakhirnya itu adalah persembahan terbaik di temasya ini.
“Saya tunggu lama untuk beraksi di Sukan SEA selepas acara saya tidak pada dua temasya lalu. Sebab itu saya sangat gembira.
“Tambahan pula, acara ini digabungkan, saya gementar takut melakukan kesilapan hingga menjejaskan peluang selepas mendahului pada acara Nangun. Dalam ketiga-tiga acara, ini adalah yang terbaik saya lakukan,” kata Cheong Min.
Menurutnya, kemenangan pingat emas kedua ini juga menjadoi petanda betapa dia sudah siap menjelang temasya Sukan Asia di Hangzhou, kerana dua acara itu akan turut digabungkan.
“Selepas menunggu lama, saya beraksi di Sukan Asia 2018 dan melakukan kesilapan, jadi kali ini saya tebus untuk seluruh kontinjen.”
Sementara itu, skuad wushu menyumbang tiga lagi pingat masing-masing satu perak dan dua gangsa.
Pingat perak dimenangi Sydney Chin dalam acara gabungan Taijiquan+Taijijian, selepas mengumpul 19.196 mata.
Pingat gangsa pula masing-masing disumbang Pang Pui Yee dan Wong Weng Son dalam acara Changquan wanita dan lelaki.