SKUAD hoki padang negara berpeluang menebus kekecewaan pasukan hoki dalam dewan, apabila kedua-dua pasukan lelaki dan wanita sudah mengesahkan temapt ke final, selepas masing-masing menang ke atas Thailand pada Sabtu.
Terdahulu, pasukan bimbingan Muhammad Amin Rahim mencapai kemenangan 5-0 menerusi tiga gol disumbang Shahmie Irfan Suhaimi dan masing-masing satu gol oleh Muhammad Najib Abu Hassan dan Mohammad Harris Iskandar Osman.
“Pemain bermain baik sepanjang perlawanan hari ini dan lebih tenang serta berjaya menguasai permainan mengikut perancangan yang telah diatur.
“Kita harapkan pemain terus fokus dan tidak melakukan kesilapan mudah pada aksi seterusnya,” kata Amin.
Berdasarkan sembilan mata yang dikumpul, pasukan lelaki sudah mengesahkan tempat ke final biarpun berbaki satu perlawanan liga sepusingan, menentang Indonesia.
“Berdepan Indonesia esok, selalu saya katakan bahawa kita perlu kekalkan disiplin dan konsisten sepanjang perlawanan.
“Perlu bijak untuk tidak beri harapan kepada lawan atau menghidu peluang yang boleh digunakan mereka, kerana kita dijangka bertemu mereka sekali lagi di final.
“Saya mahu pemain kekal fokus dan objektif pasukan, menang dan membawa pulang pingat.”
Pasukan lelaki akan melengkapkan saingan liga sepusingan menentang Indonesia esok, dan dijangka berdepan pasukan sama di final.
Biarpun dari segi rekod, Indonesia bukanlah pasukan hoki padang yang sehebat Malaysia, namun kelibat bekas pemain kebangsaan, Iman Gobinathan Abdullah, yang kini membimbing skuad hoki padang Garuda perlu diberi perhatian serius agar tidak mengulangi episod duka skuad dalam dewan yang terlepas pingat emas ke tangan pasukan bimbingan Dharmaraj Abdullah.
Pasukan lelaki mengumpul sembilan mata selepas tiga perlawanan setelah menang 4-0 ke atas Kemboja, Thailand (5-0) dan Singapura (4-3).
Sementara itu, pasukan wanita turut mencapai kemenangan berharga ke atas Thailand, apabila skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli capai kemenangan 3-0 pada perlawanan ketiga liga sepusingan.
Tiga gol daripada Khairunnisa Mohd Sharuddin, Fatin Shafikah Mahd Sukri dan Nuraini Abdul Rashid, sudah cukup untuk mengesahkan tempat ke final pada hari terakhir temasya, 16 Mei ini.
Kami bersyukur dengan kemenangan ke atas Thailand dan pasukan lawan memberi saingan yang baik.
“Bermain di bawah matahari terik dan bahang tidak menjadi alasan atau penghalang untuk pemain memberikan aksi terbaik di padang.
“Paling penting mereka mengikut perancangan yang diberikan kepada mereka, namun ada masanya pemain hilang tumpuan membolehkan pasukan lawan melakukan serangan,” kata Nasihin.
Mengulas mengenai perlawanan terakhir liga sepusingan, Nasihin berkata “Walaupun kami sudah layak ke final, pemain tetap perlu fokus kepada perlawanan menentang Indonesia, sama seperti sebelum ini, kami tetap menghormati siapa sahaja lawan yang kami temui.”
Pasukan wanita sebelum ini menang 8-1 ke atas Kemboja, Thailand (3-0) dan Singapura (4-1), kini meraih sembilan mata, diikuti Thailand (6) Indonesia, Singapura dan Kemboja masing-masing dua mata.