SKUAD hoki lelaki kebangsaan memulakan kempen Piala Asia 2022 dengan bergaya apabila membelasah Oman 7-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Hoki Gelora Bung Karno, Jakarta.
Tiga gol daripada Razie Rahim dan masing-masing satu daripada Faizal Saari, Shahril Saabah, Faiz Jali dan Ashran Hamsani cukup untuk memberikan tiga mata dan permulaan yang positif buat skuad negara.
Malaysia mendahului 2-0 pada suku pertama apabila Razie Rahim mudah menyempurnakan dua pukulan sudut penalti sebelum melengkapkan hatrik pada suku kedua.
Faizal Saari kemudiannya menambah gol keempat hasil jaringan padang untuk Malaysia selesa mendahului 4-0 selepas tamat babak pertama.
Tiga minit bersambung dalam suku ketiga, giliran Shahril Saabah pula mencatatkan nama sebagai penjaring sebelum Faiz Jalil menyempurnakan gol padang untuk gol keenam.
Gol ketujuh Malaysia hadir pada suku keempat menerusi jaringan padang Ashran Hamsani sekaligus memberikan kemenangan selesa sebelum menghadapi Korea Selatan esok.
Jurulatih kebangsaan, A.Arul Selvaraj nyata gembira apabila segala perancangan yang dilakukan berjaya diterjemahkan di atas padang oleh para pemain. Beliau juga gembira apabila lima pemain berjaya menjaringkan gol.
Selain itu beliau faham bukan mudah untuk para pemain kembali bermain di peringkat antarabangsa selepas lebih dua tahun tidak bertanding akibat penularan pandemik Covid-19 dan kini pasukan lebih bersedia untuk menghadapi Korea Selatan.
“Apa yang kami harapkan berlaku dan kami mahu menghabiskan perlawanan pada babak pertama supaya kita tidak tertekan. Saya gembira apabila lima pemain berjaya menjaringkan gol dan ini menunjukkan kita mampu untuk menjaringkan gol.
“Saya tahu bukan mudah untuk para pemain kembali bersaing di peringkat antarabangsa selepas kali terakhir bertanding pada Oktober 2019 dan kemenangan ini menjadikan kami lebih tenang dan bersedia untuk berhadapan Korea Selatan esok,” ujar Arul selepas perlawanan.
Sementara itu dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, Korea Selatan juga berjaya mencatat kemenangan sulung apabila mengatasi Bangladesh 6-1 di venue yang sama.