MUHAMMAD Erry Hidayat kempunan mempertahankan pingat gangsa dalam kategori angkat berat 73 kilogram (kg) Sukan SEA 2023 sebentar tadi.

Pada saingan final di Dewan Taekwondo Olimpik, Phnom Penh di sini, pemenang pingat gangsa Sukan SEA Vietnam itu gagal mengangkat bebanan 135kg tiga kali berturut-turut, sekali gus diklasifikasikan sebagai tidak menamatkan pertandingan.

Muhammad Erry  ketika ditemui media Malaysia meminta maaf termasuk kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) kerana gagal menyumbangkan pingat gangsa kepada negara seperti yang disasarkan.

“Saya minta maaf kerana mengecewakan banyak pihak, saya pun kecewa kerana saya sudah cuba sedaya upaya untuk hadiahkan pingat kepada negara tetapi bukan rezeki saya,” katanya.

Anak kepada bekas jaguh angkat berat negara, Hidayat Hamidon itu memaklumkan sudah berusaha memberikan segalanya namun kecederaan berulang di bahagian pinggang menjejaskan prestasinya di temasya dwitahunan kali ini.

“Perkara ini pun saya dah maklumkan kepada keluarga minggu lepas tetapi ibu bapa saya beritahu kalau boleh bertahan, peranglah dulu, jangan mengaku kalah,” katanya yang terpaksa mengambil ubat tahan sakit sebelum memulakan aksi hari ini.

Sementara itu, Muhammad Danial Dahlan yang beraksi acara snatch dan clean & jerk kategori 67kg gagal menamatkan pertandingan dan berada kedudukan terakhir.

Manakala, kategori wanita 59kg menyaksikan Nur Atikah Mahammad Sobri sekadar berkedudukan keenam dengan jumlah angkatan 185kg daripada tujuh atlet mengambil bahagian.