KETUA Jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Devan tidak pernah risau dan mengambil peduli dengan segala komen negatif yang sering dilemparkan kepadanya dan kepada pasukan terutama apabila tewas kerana dia tahu apa sebenarnya yang berlaku di dalam kelab.
Dia juga sedar apa masalah yang dihadapi pasukannya ketika ini dan mahu semua penyokong bersabar dan berikannya sokongan yang penuh kerana dia berjaya membawa Negeri Sembilan ke tahap yang tinggi ketika ini hanya dalam tempoh masa yang singkat.
“Saya tidak ambil peduli setiap pendapat penyokong kerana masing-masing bebas untuk bersuara. Saya lebih tahu apa yang berlaku dalam kelab kerana sebagai jurulatih saya hanya fokus kepada tugas saya sahaja dan bersikap realistik terhadap kedudukan pasukan berdasarkan kekuatan yang ada ketika ini.
“Masalah yang dihadapi Negeri Sembilan FC ketika ini adalah kekurangan pemain import. Jika dilihat kami mampu bersaing dengan pasukan lain tetapi nampak jelas kekurangan pemain import menjejaskan kami untuk beri saingan kepada pasukan yang mempunyai import yang mencukupi.
“Oleh itu tidak adil untuk mengukum pasukan jika berdasarkan keputusan tetapi penyokong juga perlu melihat bagaimana kami bermain. Sejak saya hadir ke sini pada 2021, dalam masa yang singkat saya dapat membawa pasukan ini ke tahap ini dan atas sebab itu saya tidak risau dengan segala komen yang diberikan oleh penyokong,” kata Devan dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam perkembangan yang sama, Devan turut mengesahkan bahawa Herold Goulon berkemungkinan dilepaskan selepas dia mengalami masalah kesihatan yang menyebabkan dia terpaksa berehat panjang dan kelab kini sedang berbincang dengannya untuk mendapatkan kata putus mengenai masa depannya.
“Herold Goulon dia ada masalah kesihatan dan jika tidak diberi rawatan dan pembedahan segera ianya boleh menjejaskan prestasi dia. Kita dah jumpa doktor dan cuba runding dengan dia dan kini semuanya bergantung pada dirinya sendiri,” tegasnya.
Selain itu, pengendali berusia 55 tahun itu juga tidak menolak kemungkinan membawa lebih ramai pemain import ketika jendela perpindahan kedua pada Julai namun ianya bergantung kepada kedudukan kewangan kelab.