SASARAN skuad sepak takraw meraih emas di Sukan SEA 2023 nampaknya semakin pudar di Dewan Bola Keranjang Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh.

Pada aksi final beregu lelaki, Malaysia yang ditunjangi Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi serta gantian, Hafizul Hayazi Adnan kempunan selepas kalah melawan, 21-16, 16-21, 13-21 kepada juara bertahan Indonesia.

Meskipun menang di set pertama, rejaman Noraizat seringkali tersasar dan memberikan mata demi mata mudah untuk sekadar berpuas hati kedudukan perak.

Malah katanya, sebelum perlawanan mereka memang berazam mahu membalas dendam namun akur ketentuan Allah belum lagi berpihak kepada kejayaan pasukan negara.

Malaysia gagal menandingi kehebatan Indonesia pada aksi final di Phnom Penh, Kemboja hari ini.

“Saya tetap berpuas hati walaupun kami kalah kerana apa yang terjadi perlu kekal tenang. Tak kisahlah jika orang hentam (prestasi), kami dah bagi yang terbaik.

“Memang kami nak bawa balik pingat emas, tapi nasib masih tidak menyebelahi dan akan berusaha di temasya akan datang,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Esok, skuad Ahmad Jais Baharun akan turun ke gelanggang dalam acara antara regu round robin bertemu Thailand, Kemboja dan Singapura dalam usaha terakhir mendapatkan pingat emas sepak takraw di Kemboja.

Terdahulu, satu pingat emas dalam acara double dan chinlone menjadi sasaran Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) di edisi dwitahunan kali ini.