STRATEGI baharu diperlukan untuk berdepan Thailand pada final hoki wanita Sukan Sea Kemboja pada Selasa apabila kedua-dua pasukan menamatkan saingan liga sepusingan di dua kedudukan teratas.
Ketua jurulatih hoki wanita, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata, keringat pemain ditagih untuk memberikan yang terbaik pada perlawanan yang pasti menjadi tumpuan itu.
“Untuk aksi final, strategi kedua-dua pasukan sudah diketahui namun kami akan merancang strategi berbeza dan yang terbaik untuk final,” kata Nasihin.
Pada perlawanan terakhir liga sepusingan, skuad negara membelasah Indonesia 6-0, sekali gus mencatat kemenangan sempurna dan mengumpul 12 mata.
Sebelum ini, skuad bimbingan Nasihin menang 8-1 ke atas Kemboja, Singapura (4-1) dan Thailand (3-0).
Mengulas mengenai perlawanan menentang Indonesia, jurulatih itu berkata: “Memang sudah dijangka pasukan lawan akan berkampung dalam kawasa ‘D’, namun awal-awal lagi pemain diingatkan utnuk tidak terlalu gopoh masuk ke kawasan gol lawan dan hanya tenang mencari peluang.
“Peratus terjemahan pukulan sudut penalti kita juga berkurang apabila daripada 21 pukulan sudut penalti kita peroleh, hanya tiga gol dijaringkan.
“Banyak percubaan kami tersasar di separuh masa pertama, namun sebenarnya kita turut menyimpan beberapa strategi pukulan sudut yang akan digunakan esok.”
Pada perlawanan itu, Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad menjaringkan tiga gol, Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin (2) dan Nur Afiqah Syahzani Azhar (1).
Sabtu lalu, skuad wanita negara menang 3-0 ke atas Thailand dan gol dijaringkan Khairunnisa, Fatin Shafikah Mahd Sukri dan Nuraini Rashid.