BUAT julung kalinya pasukan Sepak Takraw KPT-Masum bakal menyertai Kejohanan STL Premier 2022/2023 yang bermula pada 25 Mei hingga Ogos dan berlangsung di seluruh negara.
Penyertaan tersebut diumumkan dalam satu majlis memperkenalkan pasukan KPT-Masum Knight 2023 yang diadakan di Putra Astana, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Isnin.
Kapten pasukan, Najmi Syahfiq Anuar selaku Tekong berkata, sasaran pasukan yang baharu pertama kali menyertai kejohanan ini dengan menunjukkan prestasi yang baik apabila berdepan pihak lawan yang lebih banyak pengalaman.
“Kami menyasarkan untuk mendapatkan Top 5 dan kekal dalam Liga Premier. Bagi saya memang berbeza dengan tekong lain sebab mereka lebih banyak pengalaman dan lebih banyak main liga diluar.
“Namun, kami akan tunjukkan prestasi yang terbaik untuk beri saingan pada mereka. Mereka banyak pengalaman tetapi ianya bukan alasan untuk berikan kemenangan pada mereka,” kata Najmi.
Sementara itu, ketua jurulatih pasukan, Ahmad Sufi Mohamed Hashim menekankan pasukannya akan memberikan persaingan yang baik untuk berdepan pihak lawan serta mengingatkan anak buah untuk sentiasa mempunyai semangat juang yang tinggi menghadapi STL.
“Buat masa ini, kita tidak perlukan pemain import memandangkan sudah mempunyai pemain yang berkualiti untuk menggalas tugas masing-masing.
“Masum Knight bukanlah satu pasukan yang kerdil kerana mereka juga pernah mewakili negeri masing-masing serta berhadapan dengan pasukan yang hebat-hebat dan pengalaman itulah yang mereka bawa untuk menghadapi kejohanan nanti,” jelasnya,
Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr Pekan Ramli berkata, KPT-Masum Knight merupakan pasukan pertama memulakan musim baharu STL yang beraksi dalam liga tertinggi sepak takraw dalam negara musim 2023.
“Di peringkat KPT merasakan ianya adalah tumpuan kita dalam memastikan supaya penyertaan kita dirasai oleh pasukan lain.
“Kita yakin dengan persiapan yang telah dilakukan oleh pasukan, dengan latihan yang begitu intensif dan fokus latihan melihat kepada kelemahan yang perlu kita perbaiki,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Dalam pada itu, beliau juga menyasarkan pasukan Masum Knight untuk berada di Top 4 dan seterusnya mempunyai peluang melayakkan diri ke piala antara juara-juara.
Beliau menekankan, perlawanan yang pertama ini merupakan perlawanan yang penting dan harus dimulakan dengan keputusan yang baik dalam mendapatkan semangat untuk ke peringkat seterusnya.
“Semoga kita akan dapat mencatatkan kejayaan yang pertama sekaligus memberikan rangsangan pada pasukan lain.
“Gunakan kesempatan yang diberikan ini untuk menunjukkan pada mereka bahawa pemain sepak takraw IPT adalah pemain terbaik di negara ini,” tambahnya lagi.