TEKONG berpengalaman negara, Zulkifli Abdul Razak, kembali ke pasukan negeri kelahirannya, Terengganu Turtles, bagi saingan Liga Sepaktakraw (STL) yang bermula 26 Mei ini.
Selain Zulkifli yang meninggalkan skuad Kelantan Warriors, turut memperkuatkan pasukan itu dalam Divisyen Satu adalah apit kiri berbisa Johor Tigris, Muqlis Borhan.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT), Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman, berkata, kehadiran dua pemain itu serta awang import Thailand menjadi sandaran The Turtles musim ini.
“Sudah tentu pengalaman luas Zulkifli atau lebih dikenali sebagai ‘Sobey’ dan Muqlis menjadi aset utama disamping pemain tempatan seperti Muhammad Amar Roslan dan Alif Mursyid Rusli.
“Bagi kuota import, Terengganu Turtles bakal mempertaruhkan Tanaphon Sapyen dan seorang lagi yang masih diperingkat cadangan, juga daripada Thailand,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Menurut Tengku Zaihan, pasukan itu yang dilatih Faizal Mohamad dan dibantu Vitaya Boonta meletakkan sasaran dua teratas dalam Divisyen Satu untuk layak ke saingan Premier pada 2024.
Beliau mengakui, Terengganu Turtles berdepan misi wajib layak ke saingan utama STL itu selepas tersingkir ke Divisyen Satu pada 2019 dan tewas dalam aksi ‘play-off’, Oktober tahun lalu.
“Selepas beberapa tahun tidak beraksi dalam saingan Premier, kami tiada pilihan selain mara ke final Divisyen Satu dan antara langkah diambil adalah dengan membawa masuk pemain berkualiti.
“Dengan kehadiran Sobey dan Muqlis, kami optimis gabungan tonggak berpengalaman dan pemain daripada skuad emas skuad Sukan Malaysia (Sukma) 2022 boleh mencapai misi itu.
“Terengganu Turtles sedang merangka persiapan terbaik sekembalinya Sobey dari tugasan negara yang sedang beraksi di Sukan Sea ke-32 di Kemboja ketika ini,” tambah beliau.