PELUANG terakhir skuad badminton negara mencapai sasaran satu emas, menerusi beregu campuran lelaki tidak kesampaian apabila gandingan bidan terjun untuk Sukan SEA Kemboja 2023, Yap Roy King-Cheng Su Yin, tewas pada final.

Berdepan gandingan ranking ke-10 dunia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati, sememangnya pasangan negara diibaratkan menentang satu gergasi yang amat sukar untuk dikalahkan.

Namun, mereka tetap berjaya memberi tentangan hebat apabila mengejutkan pilihan utama itu dengan kemenangan 22-20 pada set pertama, sebelum hilang tumpuan pada set kedua, tewas 8-21, dan 16-21 pada set penentuan.

“Lawan kita memang kuat tapi saya berpuas hati dengan permainan hari ini, kerana kami memberi saingan yang baik.

“Memang mengecewakan apabila berpeluang merangkul emas tetapi akhirnya tidak berjaya.

“Cuma saya berpuas hati apabila corak permainan yang kami rancangkan sejak semalam, berjaya dikeluarkan hari ini,” kata Roy King, selepas menerima kalungan pingat perak.

Yap Roy King-Cheng Su Yin berjaya sumbang pingat perak buat skuad badminton di Sukan Sea Kemboja.

Sementara Su Yin turut akur dengan kehebatan gandingan Indonesia, apatah lagi mereka hanya digandingkan dalam latihan untuk persiapan ke temasya ini sahaja.

“Selepas ini, saya seperti biasa fokus kepada latihan untuk memperbaiki permainan dengan adik saya dalam beregu wanita, tidak terfikir untuk bermain beregu campuran.

“Namun, apa yang saya dapat dalam beregu campuran, boleh digunakan dalam beregu wanita,” kata Su Yin.

Kekalahan Roy King-Su Yin menyaksikan skuad badminton Sukan SEA Kemboja hanya membawa pulang 2 pingat perak dan 4 gangsa, berbanding di Vietnam tahun lalu, 1 emas, 2 perak dan 1 gangsa.

Selain beregu campuran, satu lagi pingat perak disumbangkan pasukan lelaki manakala gangsa menerusi perseorangan lelaki dan beregu wanita.

Kali terakhir skuad badminton gagal membawa pulang pingat emas Sukan Sea adalah pada edisi 2011, apabila sekadar membawa pulang 1 perak dan 2 gangsa.