THAILAND yakin penganjuran Sukan SEA 2025 di tiga wilayah, Bangkok-Chonburi-Songkhla yang dijadualkan 9-20 Disember 2025, akan berjaya dengan penuh gilang gemilang.
Gabenor Badan Sukan Thailand, Gongsak Yodmani berkata, semua persiapan sudah dimulakan dan penganjur temasya sukan dwitahunan itu tidak merancang membina infrastruktur baharu, bagi meminimumkan bajet.
Menurut beliau, infrastruktur sedia ada akan dibaik pulih dan dinaik taraf termasuk venue utama, Stadium Rajamangala.
“Kita tiada perancangan membina infrastruktur baharu, begitu juga dengan perkampungan sukan.
“Kita akan menempatkan atlet yang bersaing di wilayah-wilayah terbabit di universiti dan hotel yang mencukupi,” kata Gongsak.
Meskipun tiada infrastruktur baharu akan dibina, Gongsak menegaskan mereka akan menaik taraf venue mengikut standard tinggi bersesuaian dengan bajet.
“Kita yakin mampu melakukan persiapan terbaik buat setiap negara bertanding datang dan mengharungi pertandingan.”
Tambah beliau, temasya ke-33 itu bagaimanapun belum menetapkan bilangan acara sukan kerana satu mesyuarat perlu dilakukan Persekutuan Sukan Sea (SEAGF) terlebih dahulu.
Gongsak bagaimanapun berkongsi bayangan bahawa kebanyakan acara akan berlangsung di Bangkok, manakala acara sukan air pula di Chonburi dan bola sepak serta sepak takraw di Songkhla.
Untuk rekod, kali terakhir Thailand menganjurkan Sukan Sea pada edisi 2007, di Nakhon Ratchasima.