DALAM kesibukan membuat liputan sukan temasya Sukan SEA 2023, kami tidak ketinggalan memahami budaya dan sosiologi masyarakat pelbagai etnik yang terdapat di sekitar Phnom Penh, Kemboja.

Salah satu destinasi wajib pergi buat mana-mana pelancong setiap kali tiba di bumi Khmer adalah menjejaki Muzium Tuol Sleng.

Mengikut kisahnya, rejim Khmer Rouge dalam sejarah Kemboja adalah salah satu zaman yang paling menakutkan. Pada zaman pemerintahan itu, berlaku pembunuhan besar-besaran terhadap golongan setia rejim terdahulu iaitu rejim Lon Nol dan keluarga mereka yang dianggap menganut fahaman komunis.

Terdapat pembunuhan beramai-ramai terhadap sekitar 17,000 orang di penjara itu yang kini telah ditukar menjadi muzium Tuol Sleng.

Sebelum ini, Tuol Sleng ialah sebuah sekolah menengah bernama Chao Ponhea Yat. Selepas Khmer Rogue memenangi perang Kemboja, sekolah ini telah ditukar menjadi penjara yang dinamakan Penjara Keselamatan 21 (S-21).

Proses pembaikan besar-besaran berlaku di bangunan itu. Semua bilik darjah dibongkar dan dijadikan tempat penyeksaan lengkap dengan tingkap berpalang besi dan elektrik supaya banduan tidak melarikan diri.

Muzium ini dikatakan sebuah sekolah yang diubah suai menjadi penjara.

 

Kesemua tahanan itu kebanyakannya adalah penyokong setia rejim terdahulu, aktivis, serta semua keluarga mereka. Terdapat sekurang-kurangnya beribu-ribu orang yang tidak bersalah telah ditahan dan diseksa di tempat ini. Bentuk penyeksaan yang berlaku juga sangat tidak berperikemanusiaan.

Pada mulanya tahanan diambil gambar, kemudian dirakam. Selepas itu kesemua harta benda mereka dirampas dan dibogelkan untuk pemeriksaan. Selepas dimasukkan ke dalam sel, mereka akan dirantai dengan rantai besi yang dilekatkan pada dinding.

Banduan tidak dibenarkan bercakap sesama sendiri. Setiap pagi mereka dibogelkan untuk pemeriksaan. Mereka hanya dibenarkan makan empat sudu nasi dan sup dua kali sehari.

Kanak-kanak juga menjadi mangsa penyeksaan di Tuol Sleng !

Para tahanan diseksa dengan cara yang kejam seperti terkena renjatan elektrik, organ dalaman mereka dibuang tanpa ubat bius, ada yang mengalami keganasan seksual, malah ada yang disiat hidup-hidup. Daripada kira-kira 17,000 orang yang masuk, hanya tujuh orang terselamat.

Selepas era berubah, penjara ini kemudiannya dijadikan muzium untuk menyimpan kenangan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di tempat tersebut. Semua bilik dibiarkan begitu sahaja. Malah beberapa lukisan yang dibuat oleh banduan bernama Vann Nath masih ada.

Melawat muzium ini, pengunjung akan dihidangkan dengan gambar-gambar banduan ketika itu.

Anda juga boleh melihat beberapa tengkorak banduan yang ditinggalkan di dalam almari. Ramai yang percaya bahawa muzium itu dihantui oleh mangsa pembunuhan beramai-ramai yang ditahan dan diseksa di sana. Boleh jadi roh mereka masih tidak tenteram akibat perlakuan tidak berperikemanusiaan sepanjang hidup mereka.

Berhantu atau tidak, menjejaki tempat yang menjadi saksi seksaan ribuan manusia pastinya memberikan kengerian tersendiri. Anda mungkin dapat merasai ‘kegigilan’ apabila melawat setiap ruang penyeksaan atau melihat foto banduan.

Walaupun begitu, tidak ada salahnya mencuba melawat tempat ini. Siapa tahu anda mungkin mendapat pengajaran berharga semasa dalam lawatan seram di Tuol Sleng !