PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memanggil 26 pemain telah dipanggil untuk menjalani kem latihan pusat skuad Bawah 17 Tahun kebangsaan bermula 21 Mei hingga 12 Jun 2023 sebagai persiapan menjelang Piala Asia B-17 2023 di Bangkok, Thailand dari 15 Jun hingga 2 Julai 2023.

Daripada jumlah tersebut, seramai  23 pemain yang dipilih ke kem latihan pusat ini adalah dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang manakala baki tiga lagi pemain adalah dari Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ketua Jurulatih, Osmera Omaro telah mengekalkan 20 daripada 25 pemain yang dibawa ke Doha, Qatar ketika kem latihan pusat Fasa 2 pada April 2023 dan menambah enam pemain dari kem latihan pusat Fasa 1 pada Februari lalu untuk pemilihan Fasa Akhir ini.

 

Enam pemain itu ialah Dainei Mat Disa, Adam Mikaeel Shahrizan, Ahmad Danial Razali, Danish Darus, Arami Wafiy Zakimi dan Ammar Shauqi Azri dan mereka semua akan memulakan kem latihan pusat Fasa Akhir ini di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang dari 21 hingga 30 Mei 2023 sebelum meneruskan kem latihan pusat tersebut di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula 31 Mei 2023.

Di sepanjang tempoh itu nanti, beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa telah diatur sebelum skuad ini dijadual berlepas ke Bangkok pada 12 Jun 2023 untuk menghadapi Piala Asia B17 2023.

Malaysia telah diundi dalam Kumpulan A akan memulakan kempen bertemu Yemen di Stadium Thammasat pada Khamis, 15 Jun 2023 diikuti aksi kedua berdepan tuan rumah, Thailand di Stadium Pathum Thani pada Ahad, 18 Jun 2023 dan aksi terakhir kumpulan menentang Laos di Stadium Thammasat pada Rabu, 21 Jun 2023.

Dua pasukan teratas dari empat kumpulan akan layak ke Suku Akhir pada 25 dan 26 Jun seterusnya ke peringkat Separuh Akhir pada 29 Jun dan Final dijadual berlangsung pada 2 Julai 2023.

Empat pasukan terbaik yang layak ke separuh akhir kejohanan ini akan layak ke Piala Dunia B17 2023 yang dijadual berlangsung pada November 2023.