KETUA Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan SEA ke-32 Kemboja, Datuk Mohd Nasir Ali tidak menganggap pencapaian kontinjen negara mencapai sasaran 40 pingat emas sebagai kegagalan sebaliknya ia perlu diukur dari dua sudut kuantitatif dan kualitatif.
Selepas berakhir temasya, Malaysia sekadar memungut 34 pingat emas, 45 perak dan 96 gangsa untuk menduduki tempat ketujuh keseluruhan daripada 11 negara yang bertanding sekaligus mengundang kritikan banyak pihak.
Namun beliau mahu semua pihak untuk tidak menafikan bahawa 34 pingat emas yang dimenangi itu adalah kejayaan buat negara dan ianya hadir dengan kemenangan bermaruah dan seharusnya diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Dalam pada masa yang sama, kontinjen negara turut mencatat keputusan yang membanggakan dalam pelbagai acara sukan seperti sukan kombat dan akuatik terjun meskipun membariskan atlet muda yang baharu pertama kali bersaing di pentas Sukan SEA.
“Kita perlu melihat prestasi kita di Sukan SEAa Kemboja dari dua sudut, pertama kuantitatif iaitu sasaran pingat itu sendiri dan juga kualitatif iaitu kita dapat mencungkil bakat baharu. Ini adalah juga satu lagi sudut yang juga perlu dilihat.
“Ada beberapa sukan yang kita semakin kuat terutama sukan kombat seperti judo, wushu, karate, silat, taekwondo dan kickboxing yang menyumbang banyak pingat buat kontinjen negara.
“Ini juga adalah ‘wake up call’ untuk semua. Kita perlu membuka mata dimanakah tahap sukan kita ketika ini. Ia sepatutnya menjadi penanda aras yang perlu diperbaiki daripada Sukan SEA ini. Sasaran adalah sasaran tetapi tidak boleh dinafikan 34 pingat emas ini ianya adalah kemenangan bermaruah,” katanya ketika sidang media Rangkuman Prestasi Kontinjen Malaysia Sukan SEA Kemboja 2023.
Mohd Nasir juga mahu semua pihak yang terlibat dalam pembangunan atlet untuk memantau atlet-atlet baharu terutama yang berjaya memenangi emas pada penampilan pertama bagi memastikan mereka mampu untuk terus menyumbang buat negara dalam pelbagai lagi temasya sukan akan datang.
“Kita perlu memantau atlet baharu yang memenangi emas seperti Umar Osman yang memecahkan rekod kebangsaan berusia 20 tahun dan golfer wanita, Ng Jing Xuen yang memenangi emas pada usia 15 tahun dan mereka ini mampu untuk beraksi dalam dua lagi Sukan SEA selepas ini,” tambahnya.
Statistik juga menunjukkan sekiranya Kontinjen Malaysia berjaya mencapai sasaran 40 pingat emas sekalipun, kedudukan Malaysia tetap tidak berubah di tangga ketujuh keseluruhan dari 11 negara yang bertanding oleh itu ianya tidak dianggap sebagai gagal.