HASRAT Sabah FC untuk melonjak ke tangga kedua liga tidak berjaya apabila Terengganu FC bangkit dari ketinggalan 2-0 pada satu ketika untuk mengikat kedudukan 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee tidak berjaya mencatat rekod tujuh kemenangan di laman sendiri dalam semua pertandingan meskipun mendahului dua jaringan daripada Telmo Castanheira dan penalti Darren Lok pada babak pertama.
Pada ketika Terengganu dilihat hampir tewas kali ketiga berturut-turut, Sony Norde muncul wira apabila dua sepakan percuma cantik berjaya memberikan satu mata sekaligus mengurangkan tekanan kepada pengendali Tomislav Steinbruckner.
LIGA SUPER 2023
FT: Sabah FC 2-2 Terengganu FC
⚽ Telmo Castanheira 28', Darren Lok 37'(P)
⚽ Sony Norde 45'+1, 90'+2#LigaSuper2023#RaduSabahRadu#PetehGanuPeteh pic.twitter.com/u36qCPCaeG— Flash Sukan (@FlashSukan) May 19, 2023
Terengganu yang beraksi tanpa kelibat Ivan Mamut dan Adisak Kraison jelas sukar mengatur gerak tetapi berjaya mengambil kesempatan situasi bola mati untuk membawa pulang satu mata ke Kuala Terengganu.
Kedua-dua pasukan beraksi dengan berhati-hati pada awal perlawanan sebelum sepakan percuma Baddrol Bakhtiar menemui kepala Telmo Castanheira yang menanduk masuk gol pembukaan buat Sabah pada minit ke-28
Gol itu nyata menaikkan semangat para pemain Sabah dan tidak sampai sepuluh minit mereka menggandakan kelebihan apabila Darren Lok mudah menyempurnakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan Terengganu dalam kotak penalti.
Ketika Sabah dilihat selesa dengan kedudukan 2-0, Sony Norde berjaya merapatkan kedudukan menerusi satu sepakan percuma yang cukup cantik menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada minit-minit terakhir babak pertama.
Tidak banyak perubahan berlaku pada babak kedua dengan Datuk Ong Kim Swee melakukan beberapa pertukaran pemain dengan memasukkan Amri Yahyah, Jailton Paraiba dan Gary Steven Robbat untuk memantapkan lagi barisan tengah dan serangan.
Terengganu berpeluang menyamakan kedudukan lima minit sebelum tamat permainan tetapi pemain gantian, Engku Shakir gagal menolak masuk bola meskipun gawang sudah terbuka luas.
Ketika perlawanan hampir tamat dan Sabah dilihat bakal mencatat kemenangan, Sony Norde mempunyai idea yang lain apabila sekali lagi meledak sepakan percuma menewaskan Khairul Fahmi buat kali kedua.
Kedudukan 2-2 kekal hingga tamat perlawanan dan Sabah FC kehilangan dua mata sekaligus kekal di tangga keempat dengan 21 mata dari 11 perlawanan dan Terengganu FC naik ketangga kelapan dengan 14 mata.