KELANTAN FC kekal di kedudukan bahaya liga selepas rebah 0-5 dalam perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC (KDA) pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Sabtu malam.

Ketua jurulatih KFC Frank Bernhardt berkata, pasukannya mempunyai pemain yang lebih berpengalaman daripada aksi yang ditunjukkan namun hilang kawalan ketika hantaran bola dibuat.

“Mario melakukan banyak kesilapan di posisinya. Dia kehilangan banyak bola dan tidak membuat hantaran bola dengan baik. Kita cipta banyak peluang namun banyak kesilapan di posisi pertahanan.

“Tugas saya hanya mengambil alih pasukan dan mereka mempunyai kekurangan yang sangat besar dari segi kecergasan serta tidak ada seorang pemain pun yang mampu bermain selama 90 minit,” kata Bernhardt selepas perlawanan.

Ujarnya lagi, pemain import juga bukan satu penyelesaian untuk pasukan sekiranya mereka mempunyai saiz tubuh yang sama seperti pemain di Malaysia berbanding pemain pasukan lain yang bertubuh lebih besar serta aktif.

Selain itu, Bernhardt juga menyatakan sekiranya Kelantan FC tidak bangkit dan mengutip mata dalam perlawanan menentang PDRM FC selepas ini,  ianya akan menjadi lebih sukar untuk pasukan itu.