JARINGAN penalti pada awal babak kedua oleh Kpah Sherman cukup untuk memastikan Sri Pahang FC kekal dengan rekod tanpa kalah dalam Liga Super musim ini selepas menewaskan Penang FC 1-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Perlawanan yang berlangsung pada sebelah petang itu menampilkan aksi yang menarik dari kedua-dua pasukan dengan tuan rumah dilihat sedikit tertekan pada babak pertama apabila diasak barisan serangan yang diketuai Soony Saad.

Meskipun Sri Pahang turun tanpa tiga tonggak utama, Lucas Silva, Stefano Brundo dan Azam Azih namun pemain yang diturunkan membalas kepercayaan Ketua Jurulatih, Fandi Ahmad dengan persembahan yang cemerlang.

Penang FC yang masih segar dengan tiga kemenangan berturut-turut dalam liga bermula dengan baik namun gagal menyempurnakan peluang yang hadir dan terpaksa berpuas hati dengan keputusan 0-0 pada babak pertama.

Segala-galanya berubah pada awal babak kedua apabila keadaan kucar-kacir dalam kotak penalti Penang menyebabkan Rafael Vitor terpaksa melakukan bentesan keatas Kpah Sherman dan pengadil perlawanan tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada skuad Tok Gajah.

Kpah sendiri mengambil sepakan itu untuk menewaskan penjaga gol Penang untuk memberikan gol pendahuluan kepada Sri Pahang sekaligus menggembirakan lebih 3,000 penyokong yang hadir ke stadium.

Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan dan Sri Pahang berjaya naik ketangga kedua liga sementara Harimau Kumbang jatuh ketangga kelapan dengan 14 mata selepas 11 perlawanan.