PENYERANG muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak akan terus menjadi pengambil penalti pertama skuad negara selepas ini meskipun gagal melakukan demikian pada aksi penentuan pingat gangsa di Temasya Sukan Sea Vietnam.
Dia juga bangga dengan kejayaan pasukan dan bersyukur berjaya layak ke separuh akhir dan merasakan masih banyak perkara perlu dilakukan beliau dan rakan sepasukan untuk membentuk skuad yang lebih mantap.
Selain itu, penyerang tinggi lampai ini juga yakin Malaysia mampu untuk berdepan cabaran sesiapa pun dan mampu raih keputusan positif ketika saingan Piala Asia AFC B23 di Uzbekistan bulan hadapan.
“Saya mahu mengambil penalti. Sebagai seorang penyerang sudah tentu saya dahagakan jaringan dan jika ada penentuan penalti lagi, saya akan menjadi pengambil pertama buat pasukan. Penalti adalah nasib dan saya akan cuba lakukan sebaik mungkin.
“Bagi saya ianya adalah satu pencapaian yang bagus layak ke separuh akhir kerana ianya lebih baik dari sebelum ini. Dengan masa persediaan yang singkat, saya bangga dengan pasukan ini dan bersyukur dengan persembahan semua rakan sepasukan.
“Meskipun saya gembira apabila berjaya menjaringkan tiga gol dari enam perlawanan tetapi bagi saya masih banyak yang boleh diperbaiki untuk memastikan pasukan ini menjadi skuad yang lebih baik.
“Tiada yang mustahil dalam bola sepak. Saya yakin pada pasukan kerana kami mempunyai potensi dan bersedia untuk menentang mana-mana pasukan dan meraih keputusan positif dalam kejohanan AFC itu nanti,” jelas Hadi
Skuad muda negara akan berlepas ke Uzbekistan pada 27 Mei ini untuk aksi Piala Asia AFC B23 yang akan bermula dari 1-19 Jun. Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama juara bertahan, Korea Selatan dan juga dua seteru serantau, Thailand dan Vietnam.