PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli tetap bersemangat untuk bersaing pada perlumbaan pusingan 2 Kejuaraan FIM JuniorGP di Litar Ricardo Tormo, Valencia, pada awal pagi Isnin.
Walaupun sekadar memulakan daripada kedudukan terakhir, pelumba berusia 16 tahun itu berazam berusaha keras mendapatkan penamat di atas podium.
“Saya akan bermula di petak terakhir untuk Race 1 esok disebabkan penalti kerana slow riding sewaktu QP1. Saya akan cuba yang terbaik dalam Race 1 & 2 esok,” katanya beraksi dalam kategori European Talent Cup (ETC) pada perlumbaan JuniorGP bersama pasukan Monlau Motul.
Pelumba kelahiran Terengganu itu memulakan saingan ETC dengan langkah kanan apabila melengkapkan aksinya di kedudukan ketiga ketika bersaing di Litar Estoril, Portugal.
Ketika ini, Hakim Danish berada di kedudukan ketujuh keseluruhan dengan 16 mata, ketinggalan 34 mata di belakang pelumba Sepanyol, Brian Uriarte yang menang dua kali di Portugal.
Terdahulu, semasa perlumbaan Pusingan 3 Red Bull Rookies Cup (RBRC) di Litar Le Mans, Perancis minggu lalu, dia dirempuh dalam satu insiden ketika cuba mendapatkan penamat di atas podium.
Bagaimanapun, dirinya tidak mengalami sebarang kecederaan.