PENGENDALI pasukan Penang FC B-23, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berpuas hati dengan kemenangan yang dicapai pasukannya menewaskan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dalam aksi Kumpulan A Piala MFL di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad.
Meskipun rehat yang panjang selama sebulan sedikit menggangu para pemain untuk mendapatkan semula momentum, namun ianya tidak mematahkan semangat pemain untuk berjuang hingga akhir perlawanan untuk mencuri tiga mata.
Penang FC mendapat gol kemenangan pada minit ke-89 dan ianya menepati kehendak barisan kejurulatihan yang mahukan kemenangan bagi memastikan mereka kembali ke landasan kemenangan di pusingan kedua liga.
“Menang dengan JDT adalah satu keputusan yang cukup positif kerana dalam pusingan kedua ini, minimum Penang perlu menang lima perlawanan jika hendak dapatkan kedudukan empat terbaik.
“Pemain-pemain sedar pentingnya tiga mata ini dan semua bermain jauh lebih baik dari perlawanan sebelum ini dengan semua berjuang hingga minit akhir meskipun sedikit terganggu untuk kembali mendapatkan momentum kerana tidak ada permainan sepanjang 30 hari,” katanya selepas perlawanan.
Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT II, Mariano Raul Echeverria menganggap kealpaan barisan pertahanan menyebabkan mereka dihukum pasukan tuan rumah selain kegagalan menyempurnakan penalti sekali lagi menjadi punca kekalahan barisannya kepada Penang FC.
Kemenangan ini merapatkan jurang mata antara Penang di tangga kelima dan JDT II di tangga keempat hanya kepada satu mata selepas berakhir lapan perlawanan dengan liga kembali berehat hampir tiga minggu selepas ini.