FOTO KREDIT : DETIK COM
JUARA dunia, Argentina secara rasmi mengumumkan aksi persahabatan mereka menentang negara jiran, Indonesia. Pun begitu, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) berkata belum ada perjanjian rasmi sebelum ada ‘hitam di atas putih’.
Pengumuman ini dapat dilihat dalam posting @Argentina di Twitter pada Isnin yang menyatakan Argentina akan menentang Australia dan Indonesia.
Perlawanan Argentina menentang Australia akan diadakan di China pada 15 Jun. Empat hari kemudian tiba giliran Indonesia menguji kekuatan La Albiceleste.
Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) PSSI Arya Sinulingga tidak dapat mengesahkannya. Beliau mendakwa, tiada persetujuan muktamad berhubung rancangan persahabatan ini.
#SelecciónMayor Gira Asia 2023
Amistosos confirmados:
15/06 vs @Socceroos en Beijing.
19/06 vs #Indonesia en Yakarta.¡Vamos Selección! 🇦🇷💙 pic.twitter.com/0FJwEZ83uH
— 🇦🇷 Selección Argentina ⭐⭐⭐ (@Argentina) May 22, 2023
“Sebelum hitam putih, kami tidak berani mengatakan ia akan berlaku,” kata Arya ketika disahkan pemberita.
Setakat ini, PSSI hanya mengesahkan Indonesia akan bertemu Palestin di Stadium Gelora Bung Tomo, di Surabaya pada 14 Jun depan. Perlawanan ini sendiri telah lama diumumkan semasa kekecohan mengenai penolakan Israel untuk bertanding dalam Piala Dunia B-20 2023 yang pada asalnya akan diadakan di Indonesia.