PEMAIN tengah Manchester United, Casemiro menyatakan sokongannya terhadap bekas rakan pasukan di Real Madrid, Vinicius Jr selepas dibuli dengan isu perkauman oleh penyokong pihak lawan pada Ahad lalu.
Casemiro sebelum ini pernah bermain bersama Vinicius di Real Madrid dan juga mewakili Brazil di pentas antarabangsa.
Setelah bermain bersama dalam 161 perlawanan, Vinicius mendapat sokongan daripada Casemiro melalui hantaran di media sosialnya.
“Saya berasa kecewa dan sangat sedih. Malu bagaimana isu perkauman dengan rakan sepasukan saya, Vinicius Junior kembali berulang.
“Kita tidak boleh terus bertolak ansur dengan masalah ini yang membatasi sukan kerana ianya menjejaskan seluruh masyarakat apabila tiada sebarang hukuman dilakukan.
“Kecaman daripada pihak awam tidak mencukupi dan hukuman mesti dilakukan. La Liga perlu segera mengambil langkah kerana insiden perkauman yang berulang ini memburukkan imej bukan sahaja bola sepak Sepanyol, tetapi juga bola sepak dunia,” kata Casemiro menerusi hantaran di Twitternya.
Me sinto decepcionado e muito triste ao ver, envergonhado, como se repetem episódios de racismo com meu companheiro de Seleção Vinícius Junior.
Não podemos continuar tolerando esse problema que transcende o esporte, afeta toda a sociedade e segue impune. Não basta uma… pic.twitter.com/Xkx0LL0Aht
— Casemiro (@Casemiro) May 22, 2023
Dalam masa yang sama, penyerang United, Jadon Sancho juga menyatakan sokongan kepada Vinicius di hantaran Instagramnya.
Dalam perlawanan La Liga menentang Valencia, pemain Brazil berusia 22 tahun itu menunjukkan individu yang berada di tempat penyokong pihak lawan yang dipercayai telah membulinya.
Susulan itu, Vinicius kemudiannya dibuang keluar dari padang untuk kali pertama dalam perlawanan itu kerana berlakunya pertengkaran yang jelas membuat dia emosi pada hari tersebut.
Penyerang muda Real Madrid itu dikatakan telah menjadi sasaran melibatkan isu buli berkaitan perkauman beberapa kali pada musim ini dan insiden yang berlaku pada Ahad lalu mendapat kritikan daripada Carlo Ancelotti serta ramai lagi pemain terkemuka dalam bola sepak.
Dalam pada itu, Valencia menekankan akan mengambil tindakan yang seberat mungkin dan akan melakukan siasatan mengenai insiden yang berlaku.