PAKEJ bantuan menyeluruh kira-kira RM400,000 disediakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) buat ratu 400 meter (m) wanita Asia Tenggara, Shereen Samson Vallabouy, dalam usaha membantu atlet itu mengembangkan kerjayanya sebagai atlet, selepas menamatkan pengajian di Universiti Winona State, Minnesota bulan ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pakej bantuan terbabit disediakan bagi memastikan atlet berusia 25 tahun itu terus menjalani latihan di Amerika Syarikat (AS).

Pakej bantuan terbabit, merangkumi kos penginapan, kejurulatihan, elaun makan, makanan tambahan, suplemen, rawatan cyro, perkhidmatan urutan sukan dan pendedahan kejohanan.

Pertama melintas garisan penamat.. Shereen menamatkan kemarau pingat emas 400m wanita di Sukan Sea selepas 24 tahun.

“Pakej bantuan ini akan bermula 1 Jun 2023 sehingga Julai 2024 yang akan membolehkan Shereen menjalani latihan di Lifespeee Athletics Florida di bawah kendalian jurulatih Derrick White,” kata Hannah, pada sidang media Pengumuman Pakej Bantuan Untuk Shereen Samson Vallabouy di Lobi Parlimen pada Selasa.

Hannah berharap menerusi pakej bantuan itu, Shereen yang juga pemegang rekod kebangsaan akan layak secara merit ke Kejohanan Dunia pada 19-17 Ogos di Budapest, Hungary, memenangi emas di Sukan Asia Hangzhou 2022 dan layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pada Sukan SEA 2023 di Kemboja bulan ini, Shereen menepati ramalan merangkul emas dengan catatan masa 52.53 saat (s), kira-kira sebulan selepas meleburkan rekod kebangsaan berusia 30 tahun dengan kepantasan 51.08s pada Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays ke-63, California.

Rekod kebangsaan 400m wanita sebelum ini menjadi milik Allahyarhamah Rabia Abdul Salam yang mencatat 52.56s ketika melakukannya pada Kejohanan Asia, di Filipina pada 1993.

Menepati sasaran… Shereen melengkapkan penguasaan negara dalam acara 400m.

Selain itu, Hannah berkata bantuan yang dinikmati Shereen juga membuktikan komitmen kerajaan memperkasa usaha pembabitan wanita dalam sukan yang menjadi antara keutamaan kementeriannya.

Dalam pada itu, Hannah turut berkongsi perkembangan terkini usaha Majlis Sukan Negara (MSN) bersama seorang lagi atlet olahraga negara, Umar Osman yang dalam proses mengenal pasti bentuk sokongan buat atlet muda terbabit mengorak langkah menjelang Sukan Asia Hangzhou.

ARTIKEL BERKAITAN : Shereen Vallabouy lebur rekod berusia 30 tahun milik Allahyarhamah Rabia Abdul Salam

Umar mencipta sensasi pada Sukan SEA 2023 apabila bukan sahaja menggondol emas 400m lelaki, malah atlet kelahiran Kluang, Johor itu turut memecahkan rekod kebangsaan hampir 22 tahun milik Mohd Zaiful Zainal Abidin selepas merakam masa 46.34s.

“Saya percaya inisiatif diberikan kepada Shereen akan menjadi pendorong kepada lebih ramai atlet muda berpotensi untuk membuktikan kemampuan mereka supaya dapat menikmati bantuan seperti diberikan kepada beliau berdasarkan merit,” katanya.