KELANTAN FC terus dirundung malang apabila tumbang 1-4 di tangan PDRM FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.

Turun dengan misi meraih mata, PDRM terlebih dahulu menekan tuan rumah apabila penyerang import dari Liberia, Marcus Macauley menjaringkan gol pertama pada minit ke-15 selepas melepasi halangan dua pemain pertahanan sebelum menolak masuk bola ke gawang tuan rumah.

Tersentak dengan jaringan itu, The Red Warriors (TRW) cuba bangkit dengan melakukan asakan ke kubu pelawat namun dihampakan oleh ketumpulan jentera penyudah.

Sang Saka Biru kembali memperkemaskan serangan dan berjaya menambah jaringan menerusi rembatan Nabil Ahmad Latpi untuk gol kedua PDRM FC m-33 menewaskan penjaga gawang, Nik Mohd Amin Ahmad.

Bersambung babak kedua, perlawanan agak seimbang apabila kedua-dua pasukan sering berbalas-balas serangan untuk mendapat jaringan. TRW dilihat berusaha mendapatkan jaringan tetapi setiap gerakan ke kawasan PDRM mudah dipatahkan.

Selepas itu, anak buah Azzmi Aziz dilihat lebih banyak mendominasi permainan sambil menahan asakan, namun lawan menarik nafas lega ketumpulan penyudah terus menghantui TRW.

PDRM terus menjarakkan kedudukan jaringan menjadi 3-0 pada minit ke-65 menerusi rembatan jarak dekat Uche Agba untuk menewaskan sekali lagi Nik Mohd Amin sebelum Bruno Suzuki menambah derita Kelantan di halaman penyokong sendiri dengan sepakan penalti pada penghujung permainan.

Kelantan memperoleh gol sagu hati hasil tandukan pemain gantian, Miguel Angel Garrido Cifuentes pada masa kecederaan namun ianya terlambat untuk terus mengekalkan kedudukan kedua tercorot Liga Super.