GANDINGAN beregu lelaki nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke pusingan kedua Malaysia Masters selepas berhempas pulas menewaskan pasangan Indonesia, Yeremia Rambitan-Pramudya Kusumawardana Selasa malam.
Pada aksi yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, pasangan negara bermandi peluh sebelum menang 21-18, 10-21, 23-21 dalam pertarungan selama 55 minit.
“Saya harus akui perlawanan hari ini bukan 100 peratus sebab jadual kami agak padat baru balik dari Piala Sudirman. Kami perlukan rehat untuk lebih segar apabila turun bertanding.
“Tapi saya tidak mahu jadikan perkara itu sebagai alasan dan harap satu hari rehat ini kami boleh gunakan dengan baik supaya turun Khamis nanti lagi fresh,” kata Wooi Yik yang akan bertemu gandingan Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho di pusingan kedua.
Mengikut jejak langkah mara ke pusingan kedua, pasangan beregu profesional Ong Yew Sin- Teo Ee Yi yang menewaskan gandingan China, Ren Xiang Yu-Tan Qiang 21-16, 21-18.
Menanti Yew Sin-Ee Yi di pusingan kedua pada Khamis ialah pasangan Taiwan, Lu Ching Yao- Yang Po Han yang mara selepas menewaskan wakil Belanda, Ruben Jille-Ties Van der Lecq 21-17, 21-15.
Selain itu, satu lagi pasangan beregu lelaki, Man Wei Chong- Tee Kai Wun turut ke pusingan kedua selepas melakar kejutan menumpaskan pasangan Switzerland, Kim Astrup-Anders Rasmussen 25-23, 21-16.
Mereka layak ke pusingan kedua dan akan bertemu pemenang antara Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong atau gandingan Scotland, Alexander Dunn-Adam Hall yang hanya akan beraksi esok (Rabu).
Dalam pada itu, beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah menepati ramalan, mengatasi pasangan adik beradik dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-17, 21-14 dan akan bertemu gandingan Jepun Rena Miyaura- Ayako Sakuramoto di pusingan kedua pada Khamis.