KEMENANGAN berharga diraih skuad hoki remaja lelaki semalam, membuktikan pengalaman diraih ketika menghadapi saingan di peringkat senior iaitu temasya Sukan Sea Kemboja mematangkan anak buah Muhammad Amin Rahim.

Seramai 14 daripada 20 pemain dibawa ke Salalah, Oman untuk Piala Remaja Lelaki Asia kali ini, adalah sebahagian daripada skuad Sukan Sea manakala enam lagi, menjalani latihan sepenuhnya bersama skuad senior di Kuala Lumpur.

Begitupun, ada sikap ‘terlarang’ yang membimbangkan ketua jurulatih remaja lelaki itu, masih dibawa dari Phnom Penh ke Salalah biarpun ketika pasukan selesa mendahului 8-0 sewaktu menewaskan Uzbekistan 8-1.

Selain menjaringkan gol, ketua jurulatih pasukan remaja lelaki, Muhammad Amin Rahim mahu pemain kekal fokus di setiap bahagian termasuk ketika bertahan./Pix AHF

“Tapi separuh masa kedua, pemain leka dan mengambil sikap sambil lewa dan pemain lawan mengambil peluang, menghasilkan satu gol padang menerusi serangan balas pantas susulan pukulan sudut penalti yang kita peroleh,” kata Amin.

Menurutnya, sikap sedemikian tidak patut ada lagi dalam pasukan: “Pemain perlu kekal fokus untuk 60 minit permainan, tidak boleh leka walau beberapa minit sekalipun dalam perlawanan.

“Apatah lagi pada perlawanan antarabangsa, sedikit kelekaan dan kecuaian di atas padang akan mengakibatkan pihak lawan memperoleh gol.”

Kemenangan 8-1 itu meletakkan pasukan negara di kedudukan teratas kumpulan B berkongsi tiga mata dengan Bangladesh yang menewaskan tuan rumah, Oman 2-0.

“Hari ini kita rehat sehari dan akan gunakan masa yang ada bagi menganalisa kelemahan dan kekuatan lawan (Bangladesh) yang akan di tentang esok,” kata Amin lagi.

Kapten Muhammad Faris Harizan mengawal bola daripada ketika mengatur gerakan dari bawah./Pix AHF

Selain Uzbekistan, Oman dan Bangladesh, pemain negara dijangka berdepan cabaran sengit daripada Korea Selatan, yang mungkin bakal menjadi penentu juara kumpulan B.

Sementara itu, dua perlawanan awal kumpulan A semalam, menynaksikan Jepun membelasah Thailand 7-1, manakala Pakistan memalukan Taiwan 15-1.

Selain empat pasukan terbabit, India turut berada dalam kumpulan A dan mereka dilabel sebagai antara pencabar utama kejuaraan.

Selepas perlawanan pertama semalam, empat pemain memimpin carta penjaring terbanyak iaitu tiga gol, iaitu pemain negara Perabu Tangaraja, Tsubasa Tanaka (Jepun), dan dua pemain Pakistan, Mohammad Khan serta Abdul Shahid.