MENGHARUNGI pusingan kedua Malaysia Masters esok, bukan satu laluan mudah biarpun Pearly Tan-M Thinaah berada di kedudukan ranking jauh lebih tinggi berbanding lawannya dari Jepun, Rena Miyaura-Ayaka Sakuramoto.

Menurut Pearly, walaupun berada di ranking ke berapa sekalipun, pemain beregu dari Jepun tidak pernah mudah untuk ditewaskan.

“Jumpa Jepun…bagi saya setiap kali bertemu pasangan Jepun, pemain lawan perlu mempersiapkan mental dan fizikal di tahap terbaik.

“Kami perlu fokus untuk memastikan momentum kami kekal di tahap terbaik,” kata Pearly.

Pearly Tan-M Thinaah perlu bersedia mental fizikal untuk berdepan gandingan Jepun./Pix BAM

Ketika ini, Pearly dan Thinaah berada di ranking ke-11 dunia, manakala lawannya esok, di ranking ke-21 dunia.

Bagi Thinaah, sepanjang tempoh tiga bulan terakhir ini, gandingannya bersama Pearly semakin meningkat, begitu juga dengan keserasian.

Gandingan wanita utama negara itu mengakui, ada perbezaan ketara antara pemain beregu wanita Jepun berbanding dari negara lain.

Vivian Hoo-Lim Chiew Sien kandas di pusingan pertama./Pix BAM

“Mereka lebih konsisten dan secara fizikalnya, mereka sangat bagus dan lebih kental, jadi kami perlu menyediakan mental dan fizikal yang jauh lebih baik berbanding menentang pasangan lain,” kata Thinaah.

Semalam, Pearly-Thinaah mengatasi gandingan adik-beradik Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-17, 21-14.

Rena-Ayako pula melangkah ke pusingan kedua selepas mengatasi pasangan England, Chloe Birch-Lauren Smith, 21-12, 21-8.

Pearly-Thinaah satu-satunya beregu wanita negara mara ke pusingan kedua, selepas Vivian Hoo-Lim Chiew Sien disingkirkan gandingan Denmark, Maiken Fuergaard-Sara Thygesen, 13-21, 18-21.