BRAZIL B-20 menghidupkan peluang ke Pusingan 16 dengan membelasah Republik Dominica 6-0 dalam perlawanan Kumpulan D Piala Dunia B-20 2023 di Stadium Malvinas Argentinas, awal pagi Khamis tadi.

Kemenangan ke atas Dominica adalah tanda kebangkitan Brazil selepas tewas 2-3 kepada Itali pada perlawanan pertama.

Bagaimanapun, Brazil hanya mampu mendahului Dominica pada minit ke-37 menerusi jaringan Savio de Oliveira yang memanfaatkan umpanan Biro.

Satu minit kemudian, Marcos Leonardo menambah kelebihan pasukan Samba kepada 2-0.

Mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menambahkan lagi motivasi Brazil pada separuh masa kedua. Pada minit ke-57, Jean Pedroso menambah derita Republik Dominica selepas meletakkan Brazil 3-0.

Pasukan Ramon Menezes tidak berhenti menyerang pertahanan Dominican pada minit-minit akhir permainan.

Sebelum aksi berakhir, Brazil terus menjaringkan tiga lagi gol menerusi Giovane Santana do Nascimento pada minit ke-82 hasil hantaran Matheus Martins.

Malang untuk Dominika yang terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Edison Ascona dilayangkan kad merah gara-gara menerima kad kuning kedua.

Kesempatan ini dimanfaatkan sebaik mungkin Giovane menjaringkan gol keduanya dalam perlawanan itu pada minit 90+2 hasil bantuan Kevin.

Giliran Matheus Martins meledak senarai penjaring Brazil pada minit 90+3 untuk kemenangan sensasi 6-0 ke atas Dominica.

 

Dalam perlawanan lain dalam Kumpulan C di Stadium Unico Diego Maradona, Jepun tewas 1-2 kepada Colombia.
Jepun mendahului Colombia pada minit ke-30 hasil jaringan Riku Yamane yang memanfaatkan umpanan Taichi Fukui.

Ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama membuatkan Colombia bangkit pada babak kedua. Lapan minit selepas sepak mula separuh masa kedua, Colombia menyamakan kedudukan 1-1.

Penyerang, Yaser Asprilla memecah masuk ke gawang Jepun yang dikawal Ryoya Kimura pada minit ke-53 selepas memaksimumkan hantaran Andres Salazar.

Colombia mendahului 2-1 pada minit ke-59 menerusi jaringan Tomas Angel dan kedudukan kekal hingga wisel penamat.