FOTO : Selangor FC

KEPRIHATINAN penyokong Selangor FC layak mendapat penghargaan setinggi langit dan wajar ditiru pengurusan kelab pasukan lain. Mereka bukan sahaja menyorak kata-kata semangat buat pemain namun juga mempamerkan kesedaran sivik dengan mengutip sampah.

Uniknya, seramai 60 sukarelawan pasukan bola sepak Klinik Asas Selangor berumur 7 hingga 17 tahun serta penjaga bersama-sama menggembleng tenaga membersihkan persekitaran stadium selepas perlawanan.

Mereka meluangkan lebih masa selepas wisel penamat dibunyikan untuk membersihkan kawasan bangku penonton dengan mengutip sampah sarap seperti pembungkus makanan dan botol.

 

Selain menyeret beg sampah yang besar di sekitar stadium, sukarelawan yang terdiri dari tiga DUN iaitu Sungai Kandis, Petaling Jaya, dan Puchong memastikan kawasan itu bersih sebelum meninggalkan  stadium.

Beberapa netizen menyambut baik usaha murni yang digerakkan penyokong yang bakal menaikkan imej kelab serta pengurusan dan menjadi bualan positif pihak luar.

“Ini yang kita nak. Kita pakat budayakan kebersihan dalam dan luar stadium,” tulis seorang netizen.

“Mana-mana stadium pun mesti macam ni. Tinggalkan sampah. Ini kesedaran sivik, penonton sepatutnya peka,” tegas Ar Rahman.

Aminudin Akmal pula menulis : “Mantap. Kebersihan separuh dari iman.”

Pada aksi Liga Super antara Selangor bertemu Kedah Darul Aman FC, kira-kira 10,637 penonton membanjiri Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Rabu malam.

 

DONE.. Mungkin itu kata-kata diungkapkan sukarelawan selepas selesai mengutip sampah di Stadium MBPJ.

 

Bagus adik. Jadikan amalan berterusan.