“DIA pening, boleh nampak dia pening, berdiri pun pening dan tak boleh hadir ke sesi temuramah ini.”
Demikian menurut Lee Zii Yi, kakak kepada Lee Zii Jia yang mewakili pemain itu ke zon temuramah, selepas pemain ranking ke-10 dunia itu tewas kepada perseorangan Taiwan, Lin Chun-Yi, 19-21, 21-16, 15-21.
Pada perlawanan itu, Zii Jia kelihatan penat pada set kedua, namun berjaya bangkit dengan kemenangan.
Kepenatan pemain itu makin ketara pada set ketiga, apabila Zii Jia seolah-olah tidak mampu bergerak ke segenap gelanggang, sehingga satu masa terduduk dan terbaring di tengah gelanggang.
Zii Yii yang juga pengurus Team LZJ, bagaimanapun mengesahkan pemain terbabit tidak mengalami demam-demam: “Tapi past few days, dia rasa tak selesa, kita bagi dia makan ubat Panadol… unfortunately can’t tahan.”
Namun, Zii Yii mengakui adiknya kepenatan akibat mengikuti perjalanan ketika beraksi di Piala Sudirman, mengambil bas memakan perjalanan dua jam, penerbangan.
Katanya, pengurusan Team LZJ sudah mencuba yang terbaik memastikan kondisi di tahap terbaik untuk kejohanan ini, malah beliau tidak menyangka keadaan seteruk ini kerana tiada tanda-tanda yang memerlukan Zii Jia mendapatkan khidmat doktor.
Kekalahan Zii Jia di pusingan kedua Malaysia Masters 2023, menyaksikan pemain itu berterusan tidak diiringi tuah di Axiata Arena.
Pada edisi tahun lalu, Zii Jia terpaksa menarik diri sebelum kejohanan bermula, manakala pada Terbuka Malaysia awal tahun ini, dia tersingkir di pusingan pertama, Terbuka Malaysia 2022 (pusingan kedua), Terbuka Malaysia 2019 (pusingan pertama).