GILIRAN Shahmie Irfan Suhaimi mencetak nama sebagai penjaring hatrik di kejohanan Hoki Piala Remaja Asia 2023, sekali gus membantu skuad Young Tigers mencapai kemenangan kedua dalam aksi kumpulan B di Salalah, Oman.

Kemenangan 5-1 ke atas Bangladesh itu, meletakkan skuad negara di landasan terbaik untuk mara ke separuh akhir.

Shahmie meledak tiga gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-13, 43 dan 59, manakala dua lagi gol disempurnakan Muhammad Syamim Naim Abd Hamid, sudut penalti (m-15) dan jaringan padang Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini (m-8).

Keputusan positif itu, cukup menggembirakan pengendali, Muhammad Amin Rahim, yang berasakan pemain melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang.

Pemain negara cuba melepasi dua pemain Bangladesh, Pix AHF

“Saya puji pemain kerana berdisiplin sepanjang 60 minit perlawanan, mengikut percaturan yang telah kita rancang.

“Kita memperoleh 7 pukulan sudut penalti dan empat daripadannya, satu peratusan yang baik cuma pemain hilang konsentrasi apabila keputusan pengadil tidak memihak kepada kita. Perkara begini tidak boleh berlaku kerana pemain perlu fokus sepanjang tempoh perlawanan,” kata Amin.

Tamat dua perlawanan, Malaysia kini memimpin carta kumpulan B, dengan enam mata hasil dua kemenangan dan sudah menjaringkan 13 gol.

Skuad negara akan berdepan Korea Selatan Sabtu ini, dan perlawanan itu bakal menjadi penentu juara kumpulan.