PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe mahu menamatkan aksi dalam 90 minit namun tidak menolak kemungkinan permainan mungkin berlanjutan hingga penentuan penalti dalam pertemuan suku akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan pada Sabtu.

Meskipun berada dalam prestasi terbaik ketika ini, Cheng Hoe mahu anak-anak buahnya sentiasa berwaspada terutama dalam ancaman bola tinggi yang boleh dihadirkan oleh penyerang tinggi lampai, Anselmo Arruda atau dikenali sebagai Casagrande.

“Memang kalau kita lihat pertandingan pertandingan Piala FA ini adalah lain berbanding liga kerana kalah mati. Setiap jurulatih ada taktikal mereka sendiri terutama apabila bertandang ke Stadium Paroi.

“Kita tahu K.Devan banyak pengalaman dalam Liga Malaysia dan biasanya keputusan antara Selangor dan Negeri Sembilan sangat rapat. Tempoh hari dalam liga kami menang pada minit terakhir. Saya tahu Devan ada strategi yang baik untuk lawan kami.

“Dalam perlawanan kalah mati pelbagai kemungkinan boleh berlaku tetapi saya sebagai jurulatih kalau boleh nak habiskan permainan dalam 90 minit. Namun kami tetap bersedia jika perlawanan dilanjutkan dengan ada beberapa pemain yang melakukan latihan sepakan penalti.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu juga menjelaskan beberapa kekuatan yang ada pada pasukan Negeri Sembilan dan mahu pemainnya mengawal emosi dalam perlawanan yang dijangkakan sebagai sukar.

“Pemain yang ada dalam pasukan Negeri Sembilan walaupun tidak cukup pemain import tetapi K. Devan berjaya corakkan permainan yang baik terutama pertahanan. Dia tahu gunakan kelebihan pemain. Serangan mereka juga bahaya dengan Shahrel Fikri semakin baik dan Sikh Izhan juga hebat di gawang. Saya jangka ini adalah perlawanan yang sukar.

“Salah satu kekuatan Negeri Sembilan adalah ‘set pieces’ mereka yang cukup teratur. Saya harap barisan pertahanan dapat mengawal keadaan kerana bukan mudah terutama Casagrande yang ada ketinggian akan beri kelebihan pada mereka.”