JUARA keirin dunia 2017, Datuk Azizulhasni Awang, memenangi pingat emas ketiga di Hong Kong, apabila memenangi perlumbaan keirin Kejohanan Piala Trek Antarabangsa Hong Kong II, Sabtu.

Pada aksi final yang berlangsung di Velodrom Hong Kong, atlet berusia 35 tahun itu berada dalam kelas tersendiri  mengenepikan cabaran pelumba Kazakhstan, Sergey Ponomaryov dengan pingat perak manakala gangsa menjadi milik seorang lagi pelumba Malaysia, Mohd Akmal Nazimi Jusena.

Lebih manis, ini merupakan pingat emas ketiga diraih anak kelahiran Dungun, Terengganu di bumi Hong Kong itu hadir selepas dia merangkul dua pingat emas dalam acara keirin dan pecut Kejohanan Piala Trek Antarabangsa Hong Kong I, pada Jumaat.

Amber Yong (tengah) raih emas kedua di Hong Kong, apabila menang perlumbaan pecut remaja wanita./Pix FB Datuk Azizulhasni Awang

Sementara itu, dalam acara pecut wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri berjaya meraih gangsa selepas mengenepikan cabaran pelumba Korea Selatan, Park Jihae pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Dalam pada itu, pelumba muda negara, Amber Yong mengikut jejak langkah Azizulhasni apabila cemerlang merangkul pingat emas menerusi acara pecut remaja wanita, menewaskan Valencia Tan dari Singapura yang memenangi perak manakala gangsa menjadi milik pelumba Taiwan, Lin Jhih Yan.

Semalam, Nurul Izzah Izzati meraih emas acara pecut dan perak keirin, manakala Amber menang emas pecut remaja wanita (semalam).