BEREGU lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menggegarkan Axiata Arena, apabila melakar kejutan menewaskan pilihan kelapan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin di separuh akhir Malaysia Masters, Sabtu malam.
Pasangan negara yang berada di ranking ke-26 dunia itu tidak berdepan masalah untuk menidakkan cabaran gandingan ranking kesembilan dunia, menerusi kemenangan straight set 21-17, 22-20 dalam aksi yang memakan masa 45 minit.
“Set kedua itu ada sedikit gementar tetapi Wei Chong bagi sokongan keyakinan. Lepas itu saya cuma main seperti biasa sambil berharap lawan membuat silap.
“Untuk perlawanan esok, kami akan bincang dengan jurulatih berkenaan strategi yang akan digunakan,” kata Kai Wun.
Menanti pasangan negara di perlawanan akhir adalah beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Sung Jae yang berjaya menewaskan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.
Min Hyuk-Sung Jae bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum menoktahkan kemenangan 21-18, 12-21, 21-16 dalam aksi yang memakan masa selama satu jam 13 minit.
Untuk rekod, kali terakhir beregu lelaki Malaysia ke final bertaraf Super500 itu adalah Teo Ee Yi-Ong Yew Sin pada edisi 2019.