SELANGOR FC mengesahkan pemain kebangsaan, Nor Hakim Hassan tidak lagi bersama skuad Gergasi Merah dan perlawanan suku akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan pada Sabtu adalah perlawanan terakhirnya bersama Merah Kuning.
Perkara ini disahkan menerusi hantaran di laman sosial rasmi kelab sejurus tamat perlawanan yang menyaksikan Selangor menang 3-1 keatas Negeri Sembilan sekaligus layak ke peringkat separuh akhir bertemu sama ada Johor Darul Ta’zim atau Penang FC.
“Selepas perbincangan mendalam, Hakim Hassan telah memutuskan untuk meneruskan kerjayanya dengan kelab baharu. Justeru, Selangor FC ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih atas khidmatnya selama empat musim yang lalu dan kami mendoakan yang terbaik dalam kariernya,” tulis kenyataan itu.
Pemain tengah berusia 31 tahun itu menyertai Selangor pada 2020 dari Perak FC dan membuat 41 penampilan bersama skuad utama dengan berjaya menyumbang enam gol sepanjang tempoh itu.
Khabar angin kuat mengatakan dia akan kembali ke negeri kelahirannya, Terengganu namun ianya masih belum dapat diputuskan dan perlu menunggu jendela perpindahan kedua yang akan dibuka pada Julai.
Nor Hakim juga mempunyai enam kaps dengan skuad kebangsaan dengan kali terakhir beraksi ketika Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 yang menyaksikan Harimau Malaya berjaya layak ke separuh akhir sebelum tewas kepada juara pertandingan, Thailand.