“THE helmet save my life.”
Pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, menarik nafas lega apabila terselamat dari kemalangan ketika bersaing dalam acara keirin di kejohanan Piala Trek Antarabangsa Hong Kong II, pada Sabtu.
Melihatkan status Instastory, di akaun Instagramnya “shahfirdaus95” pelumba negara itu membayangkan kualiti topi keledar diguna ketika berlumba, menyelamatkan nyawanya yang hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley memaklumkan pelumba dari Johor itu berada dalam keadaan baik selepas diperiksa doktor.
Walaupun berada dalam keadaan yang baik, Beasley mengesahkan Shah Firdaus tidak akan berlumba dalam acara pecut selepas basikal dan topi keledar yang digunakan pada acara keirin itu rosak.
“Shah berada dalam keadaan yang baik cuma dia tidak akan berlumba dalam acara pecut kerana basikal dan topi keledarnya rosak.
“Selepas melakukan pemeriksaan doktor termasuk penilaian bagi memastikan dia tidak mengalami gegaran otak.
“Walaupun dia berada dalam keadaan yang baik dan badannya tidak terhantuk teruk, dia dijangka kembali berlatih semula pada Rabu,” katanya Beasley.
Sebelum ini, pada pada aksi yang berlangsung di Velodrom Hong Kong, Shah Firdaus gagal menamatkan perlumbaan dalam acara keirin selepas terlibat dalam kemalangan di pusingan terakhir.
Perlumbaan acara Keirin itu dimenangi pelumba negara, Datuk Azizulhasni Awang yang berjaya mengenepikan cabaran pelumba Kazakhstan, Sergey Ponomaryov dengan pingat perak.
Pingat gangsa milik seorang lagi pelumba Malaysia, Mohd Akmal Nazimi Jusena.