FOTO : Johor Southern Tigers

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) tepati ramalan mara ke peringkat separuh akhir Piala FA selepas membenam Penang FC 5-0 pada perlawanan suku akhir di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Ahad.

Sedikit pertukaran taktikal dibuat pengendali JDT yang melakukan penggiliran pemain memasukkan Farizal Marlias di posisi penjaga gawang dan kemasukan Diogo di barisan utama serta Bergson da Silva direhatkan.

Permulaan yang cukup bertenaga dipamerkan juara bertahan apabila terus mengasak memburu gol namun gaya permainan Penang yang bermain defensif berjaya mengekang daripada dibolosi.

 

Selepas 30 minit, kubu Harimau Kumbang akhirnya robek apabila Ousmane Fane tertampan bola masuk m-32 selepas tekanan diberikan oleh Diogo menyambar bola tandukan Fernando Forestieri yang terkena palang.

Berselang enam minit, stadium yang dipenuhi warna merah dan biru kembali gamat apabila pemain kebangsaan Indonesia, Jordi Amat mendada bola sebelum melepaskan rembatan mengukuhkan kedudukan JDT di separuh masa pertama.

Bagaikan Harimau Selatan yang belum puas memburu mangsa, penguasaan anak buah Esteban Solari semakin hebat mengasak ke gawang pelawat dalam usaha menambah jaringan sebaik bermula 45 minit berikutnya.

Arif Aiman terus cipta sensasi di hadapan penyokong sendiri malam ini.

Asakan-asakan berkenaan akhirnya membuahkan hasil apabila tonggak muda, Arif Aiman Hanapi menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-49, untuk gol ketiga tuan rumah.

JDT terus dahagakan jaringan dan pada minit ke-58 mereka mendapat gol keempat hasil sentuhan La’Vere Corbin-Ong.

Pemain gantian, Syafiq Ahmad mengesahkan kemaraan kelab diwakilinya dalam saingan Piala FA musim ini untuk gol kelima tuan rumah pada masa kecederaan.

Kemenangan ini meletakkan JDT semakin hampir ke pentas final, bakal berentap dengan juara edisi lima kali Selangor FC di peringkat separuh akhir bulan depan.