Select Page

Petronas Terbuka Malaysia 2022 buka gelanggang Jun ini

Petronas Terbuka Malaysia 2022 buka gelanggang Jun ini

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh Chee Keong mengumumkan nama baharu yang akan digunakan bagi menggantikan nama Terbuka Malaysia iaitu PetronasTerbuka Malaysia 2022 dan berterima kasih atas sokongan Petronas kerana turut menaja kejohanan tersebut.

“Kejohanan tahun ini akan menggunakan nama baharu yang dikenali sebagai Petronas Terbuka Malaysia 2022 dan kami sangat berbangga kerana jenama terkenal mengiringi kita dan terima kasih kepada Petronas atas sokongan tidak berbelah bahagi,” jelas beliau.

Petronas Terbuka Malaysia 2022 merupakan antara lima kejohanan berprestij badminton Siri Super dalam kalendar BWF yang bakal menawarkan wang tunai sebanyak 675 000 USD.

Kejohanan kali ini lebih menarik apabila disajikan dengan gimik pembukaan, peta projek dan persembahan dron pada aksi final untuk menarik penonton hadir ke stadium.

Bukan itu sahaja, malah Karnival Terbuka akan diadakan setiap hari kejohanan berlangsung pada jam 3 petang hingga 10 malam bagi memastikan penonton merasai pengalaman yang baru.

Beberapa aktiviti seperti permainan interaktif, gerai makanan, persembahan pentas oleh beberapa artis tempatan turut diadakan bagi mempamerkan keindahan Malaysia di mata dunia.

Tiket akan mula dijual esok (Khamis) pada jam 2 petang serendah RM 25 hingga RM 500 secara dalam talian menerusi laman web www.myticket.asia dengan promosi ‘early bird’ akan diberikan kepada 2000 tiket awal yang dijual.

Edisi terakhir pada 2019 menyaksikan Lin Dan muncul juara perseorangan lelaki manakala Tai Tzu Ying pula merangkul kejuaraan bagi perseorangan wanita.