PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D.Shahriman Zaharudin memberitahu kontinjen Malaysia kali ini akan mengambil bahagian dalam 13 daripada 14 jenis sukan yang dipertandingkan termasuk satu sukan demo (E-Sport).

“Kontinjen Malaysia akan hanya mengambil bahagian dalam 153 acara ataupun hanya 35.66 peratus daripada keseluruhan 429 acara yang dipertandingkan.

“Kontinjen Malaysia tidak akan bersaing dalam perebutan 276 pingat emas, perak dan gangsa yang dipertandingkan pada kali ini,” katanya dalam sesi sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang, Isnin.

Keputusan negara penganjur yang tidak menyenaraikan 10 acara daripada dua sukan iaitu memanah dan tenis kerusi roda sekaligus menjadikan kontinjen negara kehilangan tiga pingat emas, dua pingat perak serta 3 pingat gangsa.

Susulan sesi libat urus yang diadakan bersama MPM dan Persatuan Sukan Kebangsaan yang bertanding, sasaran pingat yang ditetapkan untuk kontinjen negara adalah 33 pingat emas, 51 pingat perak dan 58 pingat gangsa.

“Malaysia bakal kehilangan tiga pingat emas apabila pemenang pingat emas Sukan Paralimpik, Tokyo 2020 iaitu Datuk Abdul Latif Romly, Ziyad Zulkifli dan Cheah Liek Hou tidak akan menyertai temasya Sukan Para Asean kali ini.

“Bagaimanapun, kita percaya bahawa akan ada atlet-atlet yang mampu mencipta kejutan dan tidak mustahil menambah jumlah pungutan pingat keseluruhan untuk kontinjen Malaysia daripada Kemboja kali ini,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Megat Shahriman juga peka terhadap isu yang terpaksa dihadapi oleh atlet-atlet negara mengenai penempatan sukan yang disediakan tidak mesra OKU.

Beliau menekankan, pihak penganjur akan melakukan ubah suai khususnya bagi pintu masuk penginapan dan tandas sebagai kemudahan bagi atlet yang berkerusi roda.

Seramai 228 anggota kontinjen yang melibatkan 144 atlet dan 84 pegawai bakal terbang ke Kemboja.