BEREGU lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani bersedia untuk bersatu semula dalam usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Sze Fei dan Izzuddin sebelum ini memutuskan untuk berpisah selepas bersama sejak lapan tahun pada Januari, berikutan kurangnya kepercayaan diri gara-gara rentetan demi rentetan keputusan buruk.

Perkembangan terkini ini diperakui sendiri oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Menerusi perkongsian dalam Instastory, Mohamad Norza memberi ‘hint‘ Sze Fei dan Izzuddin bersepakat kembali menjadi pasangan bagi meneruskan cabaran dan impian mereka beraksi di pentas Olimpik.

“Mereka ada berjumpa dengan saya dan Rexy. Menerusi pertemuan itu, masing-masing meluahkan kekesalan dan saya menasihati mereka untuk belajar dari kesilapan dahulu kuatkan semangat setia kawan sebagai pasangan kerana mereka ada potensi yang sangat tinggi dan ia menjadi sia-sia kalau biarkan mereka begitu,” katanya.

Pada tahun lalu, Nur Izzuddin-Sze Fei yang kini berada di ranking ke-32 dunia, muncul juara Super300 Terbuka Jerman, namun sejak itu mereka gagal mempamerkan aksi konsisten.

ARTIKEL BERKAITAN : “Izzuddin-Sze Fei minta dipisahkan” – Rexy Mainaky 

Ujar Mohamad Norza, belum terlambat lagi pasangan itu digandingkan semula memandangkan jurang ranking dengan pemain lain tidak jauh ketara.

“Ranking mereka ketika ini pada kedudukan ke-32 dan bukan beratus-ratus. Ada kemungkinan Sze Fei-Izzuddin beraksi dalam masa terdekat iaitu di Terbuka Singapura yang bakal menjadi pentas pertama selepas berpisah pada penghujung Januari lalu,” ujarnya.

Sementara itu, pengarah kejurulatihan beregu negara Rexy Mainaky mengesahkan bahawa kedua-dua pemain telah menyelesaikan perselisihan mereka.

“Kami mengadakan perbincangan dengan kedua-dua Sze Fei dan Izzuddin dan mereka menyedari kesilapan mereka dan mahu bersatu semula untuk cuba memperjuangkan tempat di Sukan Olimpik,” kata Rexy.

Kini, sandaran untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 Paris kembali  diletakkan kepada gandingan tersebut yang dilihat semakin bermotivasi bermain demi lencana di dada !

ARTIKEL BERKAITAN : Pamer prestasi hambar beregu Izzuddin- Sze Fei sedia berpisah?