PEMAIN badminton perseorangan lelaki sensasi negara, Lee Zii Jia mahu pertikaian antara ‘Badminton Lovers’ dan pihak media dan pelbagai pihak dapat diselesaikan dengan cara ‘peace and love’ serta dia juga berharap perkara ini tidak lagi berterusan.

Ini selepas tindakan sesetengah ‘Badminton Lovers’ yang mengugut dan menyerang peribadi wartawan yang dikatakan menulis laporan negatif tentang Zii Jia ketika Kejohanan Malaysia Masters minggu lalu hingga menyebabkan wartawan itu terpaksa membuat laporan polis.

Zii Jia yang ditemui ketika pertemuan antara dia dan Chef de Mission ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin jelas terkejut dengan situasi yang berlaku itu dan mahu ianya dihentikan untuk kebaikan semua.

“Saya tahu mereka sayang saya. Walaupun saya cakap untuk mereka hentikan, saya tidak boleh mengawal mereka kerana ‘fan base’ badminton ini besar. Saya harap semuanya boleh diselesaikan dengan ‘peace and love’ walaupun saya faham kadang-kadang topik yang ditulis itu agak sensitif.”

Perkara ini turut dipersetujui oleh Datuk Hamidin yang mengatakan Zii Jia adalah atlet yang mempunyai aura yang berbeza dikalangan peminat badminton dan mahu semua pihak memahami bahawa teguran yang diberikan kepada perseorangan lelaki nombor satu negara itu adalah untuk memastikan dia kembali bangkit.

“Zii Jia ‘will come back’ dan kita doakan sama-sama. Dia adalah pemain yang mempunyai aura yang berbeza di kalangan peminat. Apa pun yang diperkatakan oleh sesiapa untuk memberi komen kepada dia adalah dengan niat untuk memastikan dia kembali semula.

“Peminat patut faham kerana ada setengah yang sensitif apabila Zii Jia dikritik dan saya harap perkara ini tidak berlaku lagi,” kata Datuk Hamidin dalam sidang media selepas pertemuan empat mata itu.

Pertemuan itu diadakan untuk membincangkan lebih lanjut mengenai persediaan Zii Jia menghadapi sirkit badminton akan datang dan juga persiapannya untuk program RTG serta makan malam yang turut dihadiri pengurus yang juga kakaknya.