CABARAN Malaysia pada Kejohanan Badminton Terbuka Thailand 2023 berakhir selepas pemain perseorangan negara, Leong Jun Hao tersingkir di pusingan suku akhir sebentar tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok pemain berusia 23 tahun itu akur dengan kekalahan 21-19 21-11 kepada pemain India, Lakshya Sen dalam pertarungan yang memakan masa selama 41 minit itu.

Ini merupakan kekalahan kali kedua dialami Jun Hao di tangan pemain India yang menduduki ranking ke-23 dunia itu setakat tiga pertemuan antara mereka.

Terdahulu, seorang lagi perseorangan negara, Ng Tze Yong turut menerima nasib sama kandas di suku akhir kepada Lee Cheuk Yiu dari Hong Kong.

Tewas 21-19 di set pertama, Tze Yong cuba bangkit di set kedua dengan selesa mendahului 14-5 sebelum kedudukan mata menjadi 15-8 hingga tanpa disedari lawan meraih mata demi mata seterusnya kedudukan terikat 16-16 !

Hilang penguasaan gelanggang menyebabkan Tze Yong yang mencipta kejutan ke atas pemain utama Taiwan Chou Tien Chen semalam, terpaksa merelakan kekalahan 23-21.