KETUA Jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon bersedia melepaskan senjata rahsia apabila skuad kebangsaan bertemu Brunei pada aksi perlawanan persahabatan Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.

Pan-gon juga menyatakan bahawa perlawanan esok juga akan digunakan sebaik mungkin oleh beliau dan barisan kejurulatihan untuk melihat peluang memperbaiki pasukan menjelang Kelayakan Akhir Piala Asia bulan hadapan.

Para pemain sudah diberikan pelbagai informasi dan mereka juga cepat mengadaptasi dan beliau sangat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan sepanjang seminggu sesi latihan diadakan.

Jurulatih berasal dari Korea Selatan yang ini juga mahu penyokong Harimau Selatan bersatu dalam apa juga keadaan dan berbangga dengan skuad ini yang akan menerapkan DNA Malaysia dengan filosofi bola sepak yang positif

“Kami telah menjumpai senjata rahsia dan kami telah menyampaikan informasi ini kepada para pemain dan akan menggunakannya pada perlawanan esok dan berharap ianya memberikan impak positif. Kami juga menggunakan pelbagai kaedah dalam perlawanan bagi menyukarkan pihak lawan.

“Perlawanan esok akan dijadikan sebagai persediaan dan segala peluang untuk memperbaiki pasukan dan pemain akan digunakan menjelang Kejohanan Kelayakan Akhir Piala Asia nanti.

“Para pemain juga sudah menerima pelbagai informasi dan kelihatan sedikit penat tetapi mereka berjaya mengadaptasi segalanya dengan cepat. Sehingga saat ini saya berpuas hati dan berbangga dengan dengan pemain saya dan teruja untuk pertemuan esok,” katanya ketika sidang media pra perlawanan hari ini.

Sementara itu jurulatih Brunei, Rosanan Samak pula mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana menjemput Brunei dan beliau menganggap perlawanan menentang Malaysia ini adalah sebagai pengajaran kepada para pemainnya yang terikat dengan kekangan SOP Covid-19 di negara mereka.

“Terima kasih kepada FAM kerana menjemput Brunei. Disebabkan Covid-19, kami tidak mempunyai perlawanan liga di Brunei selama setahun. Kami hanya melakukan persediaan ketika bertemu Laos sebelum ini dan kini bertemu Malaysia.

“Kami akan lakukan yang terbaik. Kami ada membuat persiapan tetapi hanya mula berlatih sebelum Ramadan dan hingga kini. Liga juga masih belum dapat diteruskan dan akibatna tiada perlawanan persahabatan dapat dilakukan kerana pematuhan SOP kesihatan di sana.

“Perlawanan menentang Malaysia ini kami anggap sebagai pengajaran kepada para pemain kami. Saya tidak dapat komen lebih tetapi apa yang penting pasukan Brunei akan buat yang terbaik,” jelasnya.