Kredit Foto : Uthai Thani FC
BEKAS penyerang Malaysia B-19, Muhammad Zafuan Azeman sah menyertai Perlis United FC (PUFC) dalam Kejohanan Bank MBSB 2023 (Liga M3) selepas meninggalkan kelab Thailand, Uthai Thani FC pada penghujung musim lalu.
Zafuan berpindah ke Uthai Thani FC pada perlawanan kedua musim 2022/23 sebagai kuota pemain Thailand.
Tetapi dia jarang mendapat banyak peluang bermain dan kerap masuk sebagai pemain gantian hanya untuk empat perlawanan, berjumlah 51 minit, sebelum tidak meneruskan saingan dalam Liga 1 Thai musim depan bersama lapan pemain lain yang diumumkan sebelum ini.
Zafuan yang berasal dari Kuala Perlis, menyarung jersi nombor 10 bersama kelab Perlis United yang merupakan kampung halamannya.
Untuk rekod pemain berusia 24 tahun itu pernah mewakili pasukan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, PKNP FC, Kelantan United dan sempat bersama Angthong FC dalam Liga 3 Thai.
Ketajaman Zafuan ditagih bagi mengemudi jentera serangan bagi menggalas cabaran PUFC mengharungi baki saingan liga di musim 2023.
Perlis United kini berada pada tangga ketujuh dan meraih 11 mata dalam kedudukan Liga M3 Malaysia musim 2023.
Liga M3 adalah peringkat tertinggi sistem liga bola sepak amatur Malaysia dengan menyaksikan tiada pasukan promosi.
Namun, pasukan juara dan naib juara akan bermain dalam Piala Malaysia musim ini bersama 14 pasukan lain dalam Liga Super Malaysia 2023.