JAGUH berbasikal trek kebangsaan, Datuk Azizulhasni Awang tetap mahu tampil di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) dengan satu lagi gelaran, biarpun sudah cukup masyhur dengan kejuaraan serantau itu.

Menurutnya, perlumbaan itu bakal menjadi penyertaan ACC terakhirnya dan dia mahu mencipta satu legasi yang sukar digugat pelumba lain sebelum bersara, selepas Olimpik Paris tahun hadapan.

“Berlumba di ACC kali ini, I just about to seal my legacy.. kalau nak capai dah ada 10 emas… so for me is all about to seal legacy in my last ACC,” katanya, di temui di Veledrom Nasional, di Nilai.

Kejayaan demi kejayaan sudah dicapai, namun Datuk Azizulhasni Awang mahu mengakhiri Kejohanan Berbasikal Trek Asia dengan satu legasi yang sukar dicabar.

ACC 2023 akan berlangsung di Velodrom Nilai bermula dari 14 hingga 19 Jun ini, bakal menyaksikan penampilan terakhir ‘Jijoe’ di kejohanan trek berprestij sebenua itu.

Pemilik gelaran ‘The Pocket Rocketman’ itu sudah memenangi  10 pingat emas, 7 perak dan 6 gangsa sepanjang menyertai kejohanan itu sejak 2007.

“Bagi saya, tiada tekanan, saya sentiasa enjoy kejohanan yang saya sertai, apa lagi ACC adalah sebuah kejohanan besar.

“Saya mahu cabar diri saya dan juga mencabar beberapa pelumba yang bagus yang ada sekarang terutama dari China dan Jepun, yang melahirkan pelumba muda berbakat.

“Selain itu, kali ini kejohanan berlangsung di Malaysia, saya mahu mempersembahkan perlumbaan terbaik untuk tontonan peminat yang hadir ke veledrom dan saya amat harapkan ramai penyokong  tempatan memenuhi ruang veledrom kali ini.”

China dan Jepun melahirkan ramai pelumba trek berkualiti yang perlu diberi perhatian. – Datuk Azizulhasni Awang

Berbeza dengan penyertaan sebelum ini, Azizulhasni berkata, dia hanya akan mengambil bahagian dalam acara individu iaitu pecut dan keirin.

“Kali ini, saya akan berlumba dalam acara pecut individu dan keirin individu, tak beraksi dalam percut berpasukan, saya juga tidak muda lagi.

“Saya sudah lanjut usia… perlu jaga proses pemulihan, perlu jaga tenaga, tidak seperti Shah (Shah Firdaus Sahrom), dia masih muda, seperti saya satu Ketika dahulu, masih boleh masuk semua acara,” kata Azizul sambil ketawa.

Menurutnya, atlet yang bakal menjadi pencabar terkuatnya nanti dijangka datang dari China dan Jepun, namun dia tidak pernah gentar terhadap cabaran daripada mana-mana pelumba sebaliknya sentiasa fokus kepada prestasi diri sendiri.

Untuk rekod, Azizulhasni pernah memenangi dua pingat emas Sukan Asia masing-masing dalam acara keirin (2010) dan pecut (2018) selain muncul juara dunia di Kejohanan Dunia 2019 yang berlangsung di Hong Kong.

Pada Sukan Olimpik Rio, Brazil, The Pocket Rocketman meraih pingat gangsa, manakala di Tokyo 2020, dia memenangi pingat perak dalam acara keirin dan Paris 2024 menjadi medan terakhirnya membida pingat emas pertama peribadi dan negara.