FOTO KREDIT : TFC
KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner, enggan anak-anak buahnya turun dengan tekanan tinggi ketika bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT), pada Jumaat.
Pengendali berasal Croatia itu sebaliknya mahu skuad Sang Penyu ‘bebas’ di atas padang dengan mempamerkan rentak lebih terbuka dan tersusun di laman sendiri.
“Tidak keciciran sebarang mata dan hanya bolos satu gol setakat ini, itu sudah menunjukkan kualiti JDT. Jadi TFC tidak harus beraksi dalam tekanan bertemu kelab terbaik Malaysia.
“JDT yang lebih tertekan kerana mahu mengekalkan rekod bersih 100 peratus kemenangan dan saya beritahu pemain agar tunjuk kemampuan bersaing dengan mereka.
“Pasukan itu serba lengkap di semua posisi dan saya optimis TFC mampu memberi cabarang untuk 90 minit, Jumaat nanti,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Jurulatih yang mesra disapa Tomi itu menjelaskan, dia berharap TFC menunjukkan permainan lebih baik berbanding aksi pembuka tirai ketika tewas 0-2 di tempat lawan.
Persediaan skuad Penyu bagaimanapun terganggu dengan kecederaan lutut serius dialami tonggak pertahanan import, Sardor Kulmatov manakala Syafik Ismail mengalami kecederaan ligamen (ACL).
“Kehilangan Kulmatov amat dirasai bahagian benteng kerana dia pertahanan terbaik kami. Namun saya meletakkan kepercayaan dengan pemain lain untuk mengisi kekosongannya,” ujarnya.